malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khalid minta henti beri lesen pusat hiburan keluarga
Diterbitkan:  May 26, 2017 7:39 PM
Dikemaskini: 11:41 AM
ADS

Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri disaran agar menghentikan pengeluaran lesen pusat hiburan keluarga.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ini kerana terlalu banyak berlaku salah guna lesen untuk tujuan perjudian.

"Mengapa perlu ada pusat hiburan keluarga tetapi di dalamnya terdapat mesin yang kemudian disalah guna menjadi mesin judi," katanya dalam sidang media di Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Bukit Beruang hari ini.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menuding jari kepada polis dalam isu pencegahan judi sedangkan PBT sendiri yang mengeluarkan lesen dan mempunyai peruntukan undang-undang bagi membendungnya.

"Terdapat pelbagai peruntukan di bawah kuasa PBT termasuk menyita premis dan sebagainya. Namun apabila premis hiburan keluarga menyalah guna lesen, mereka (PBT) masih beri masa tiga bulan, enam bulan mahupun hingga hujung tahun, jadi masalah ini berterusan," katanya.

Mengenai perjumpaan itu, Khalid berkata ia diadakan bersama pegawai berpangkat Inspektor bagi mendengar keluhan mereka.

Ia juga bertujuan memberi semangat kepada kontinjen Melaka untuk menjalankan tanggungjawab seperti biasa selepas berdepan isu penahanan anggota dan pegawai kanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini, katanya.

- Bernama

Lihat Komen