malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ikan kembung kurang 80% kerana projek tambakan laut'
Diterbitkan:  May 26, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: 10:04 AM
ADS

Bekalan ikan kembung di Pulau Pinang berkurangan lebih 80 peratus sejak tahun lepas berikutan projek tambakan laut yang dijalankan kerajaan negeri, kata Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang Nazri Ahmad.

Beliau berkata kawasan projek tambakan laut itu telah mengganggu ekosistem kehidupan laut terutama bagi ikan kembung kerana ia merupakan tempat ia bertelur dan membiak.

"Kawasan projek itu dilaksanakan adalah kawasan popular untuk menangkap ikan kembung dan ia bukan sahaja memberi kesan kepada nelayan kecil malah orang ramai kerana harganya melambung tinggi. Dulu ikan (kembung) boleh dibeli dengan harga tidak sampai RM10 sekilogram.

"Tetapi sejak tahun lepas, harga ikan kembung iaitu ikan yang menjadi pilihan utama kita telah mencecah hingga RM20 sekilogram dan paling murah pun RM15 sekilogram di pasaran.

"Bukan nelayan sengaja naikkan harga sebaliknya kalau dulu boleh dapat sehingga 100 kilogram sekali turun ke laut tetapi sekarang hendak dapat 20 kilogram pun susah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai, di Kepala Batas hari ini.

Majlis itu dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad. Turut hadir Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang Mohd Khir Mohd Sham.

Nazri berkata projek itu turut menyebabkan bot dan enjin serta peralatan menangkap ikan nelayan rosak dan terpaksa menanggung kos tinggi untuk dibaiki.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri bersikap lebih telus dalam pemberian pukat percuma kepada nelayan di negeri ini kerana pada tahun lepas hanya 50 peratus daripada 3,191 nelayan yang berdaftar dengan LKIM Pulau Pinang mendapat bantuan daripada program itu.

"Kami telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung masalah itu lima bulan lepas, tetapi sampai hari ini belum mendapat sebarang maklum balas. Dulu mereka bagi kepada semua nelayan yang berdaftar dengan LKIM tetapi sejak tahun lepas hanya yang terpilih diberi dan kami tidak berpuas hati," katanya.

Terdahulu, Mohd Khir berkata seramai 3,191 nelayan di Pulau Pinang menerima bantuan sara hidup sebanyak RM250 hingga RM300 setiap bulan daripada kerajaan persekutuan membabitkan peruntukan sebanyak RM12 juta setahun.

- Bernama

Lihat Komen