malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Pinjaman dari China tak akan jadi macam 1MDB
Diterbitkan:  May 26, 2017 5:42 PM
Dikemaskini: 9:57 AM
ADS

Ketua menteri Pulau Pinang memberikan jaminan bahawa rancangan negeri itu meminjam daripada China Exim Bank untuk Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTMP) tidak akan berakhir seperti 1MDB.

Lim Guan Eng berkata, wang itu akan dipinjam daripada bank milik kerajaan China dan bukan institusi kewangan swasta.

Menjelaskan prosedurnya, Lim berkata pinjaman itu harus diluluskan oleh pihak berkuasa China dan Malaysia kerana ia melibatkan rundingan kerajaan dengan kerajaan.

Majlis Kewangan Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus meluluskan pinjaman itu sebelum Pulau Pinang dapat meminjam daripada Exim.

Jumlah pinjaman itu juga terhad (paling banyak RM1 bilion) kerana ia harus dibayar dalam tempoh lima tahun, kata Lim lagi.

Justeru, katanya, minat China untuk meminjamkan wang kepada kerajaan Pulau Pinang harus “diraikan” kerana ia menunjukkan kedudukan kewangan negeri yang baik.

“Jadi saya sangat terkejut bila ADUN Umno tidak setuju dengan langkah itu, sedangkan mereka tidak menentangnya dalam sidang DUN malam tadi,” kata Lim kepada pemberita hari ini.

DUN) Pulau Pinang semalam meluluskan Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan kerajaan memberi meminjam daripada Exim.
Kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Exim pada 16 Disember 2014, yang membolehkan kerajaan negeri meminjam daripadanya pada bila-bila masa untuk tujuan yang dipersetujui.

Enakmen itu diluluskan sebulat suara. Bagaimanapun, sebelum itu, kelab penyokong kerajaan negeri membangkitkan kebimbangan berkaitan langkah itu.

“Speaker Law Choo Kiang tanya dua kali sama ada enakmen itu diluluskan sebulat suara, dan wakil BN tidak menentangnya, walaupun ketua pembangkang Jahara Hamid berada dalam dewan,” katanya yang juga setiausaha agung DAP.

Lim mengulas kenyataan ADUN Telok Bahang Shah Headan Ayoob Shah Hussain yang mengadakan sidang media di luar dewan selepas enakmen itu diluluskan, dengan berkata langkah itu mempunyai risiko.

ADUN Umno itu menolak pinjaman untuk rancangan RM27 bilion itu. Beliau memberi contoh di Kuala Lumpur, Singapura dan Hong Kong yang menyaksikan kereta api LRT terus beroperasi dalam keadaan rugi walaupun berbilion ringgit dibelanjakan untuk kemudahannya.

PTMP dirangka untuk menyelesaikan isu kesesakan jalan raya di Pulau Pinang dengan pembinaan LR, penyediaan bas awam dan lebuh raya yang menyambungkan seluruh kawasan pulau di negeri itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen