malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemenang pertandingan esei 'Kit Siang rasis' jadi misteri
ADS

Siapakah sebenarnya penulis yang diberikan hadiah RM10,000 oleh Umno kerana memenangi pertandingan esei 'Kit Siang rasis' hari ini?

Persoalan itu timbul apabila pada majlis pengumuman hari ini, hadiah disampaikan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, kepada wakil pemenang saja.

Mereka menghasilkan 16 rencana mengenai sikap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, yang didakwa rasis dan ia dibukukan dengan tajuk "DAP Bahaya Kepada Melayu-Islam Di Malaysia".

Ketua panel hakim Datuk Yazid Othman, berkata kebanyakan peserta enggan nama mereka didedahkan "atas faktor keselamatan."

"Itu adalah atas permintaan tuan punya badan (penulis rencana) atas kebimbangan kepada keselamatan mereka," katanya di Shah Alam hari ini.

Yazid berkata sebanyak 1,200 penyertaan diterima penganjur tetapi sebahagiannya tidak memenuhi kriteria atau standard yang diperlukan.

Pada awalnya Annuar mengumumkan sebanyak RM10,000 disediakan bagi pemenang pertandingan itu.

Kata Annuar pada 23 Mac lalu, penyertaan terbuka dalam bentuk tulisan di blog, Instagram atau lain-lain dengan tema adakah benar Lim sebagai rasis, anti-Islam dan diktator selama 51 tahun.

Sehari kemudian Annuar mengumukan pula hadiah pertandingan berkenaan dinaikkan kepada RM50,000.

Katanya, ia adalah sumbangan seseorang yang enggan dikenali.

RPK pun menang

Seorang daripada pemenang kategori rencana ialah wartawan Utusan Malaysia yang menulis temu bualnya dengan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Puad Zarkashi berkisar mengenai isu rasisnya Lim.

Seramai 10 hakim dipilih untuk menilai penyertaan pertandingan diumum Annuar pada 23 Mac lalu. Seorang daripadanya ialah Penolong Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Sementara itu penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, 'memenangi' dua hadiah bagi kategori artikel melalui tulisan yang disiarkan di blog Malaysia Today.

Satu daripada rencana itu ditulisnya sendiri, manakala yang kedua di bawah nama "ketua editor".

Menurut senarai yang diedarkan kepada wartawan, enam orang memenangi saguhati RM2,000 setiap satu bagi kategori artikel.

Pada majlis pagi tadi, suasana agak kelam-kabut kerana hampir semua pemenang yang dipertandingkan dalam empat kategori tidak hadir sendiri menerima hadiah.

Yazid mengumumkan senarai 25 pemenang, diikuti majlis penyerahan replika cek tetapi agak mengelirukan apabila selain pemenang utama, hanya seorang pemenang saguhati - atau wakil mereka - bagi setiap kategori dijemput ke pentas.

Bercakap kepada media kemudian, Annuar berkata ramai pemenang tidak dapat hadir kerana ia baru dimuktamadkan semalam.

Malah, katanya, ada antara pemenang itu mahu mengelak daripada publisiti.

"Sesetengah menetap di luar kawasan (jauh) dan ada yang tidak dapat kami maklumkan pun," katanya.

Ada isu undang-undang

Bagaimanapun, kata anggota parlimen Ketereh itu, beliau akan menghubungi mereka selepas ini.

Secara keseluruhan 25 pemenang terpilih dan menerima bahagian masing-masing daripada RM50,000 yang diperuntukkan bagi pertandingan itu.

Selain kategori rencana penganjur juga membuka penyertaan bagi kategori blog, video dan infografik.

Untuk kategori video, ia dimenangi bloger Minaq Jinggo yang mengemukakan rakaman kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Lim.

Dia memenangi RM5,000.

Selain rencana yang menjadi pemenang utama - dan dibukukan - tiada penyertaan lain dikemukakan kepada media hari ini.

Menurut Annuar jawatankuasa penganjur perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menerbitkan tulisan itu kerana ia mungkin melibatkan aspek perundangan.

Namun beliau tidak menjelaskan maksud kenyataannya itu dengan lebih lanjut.

Sementara itu Lim ketika dihubungi Malaysiakini untuk mendapatkan reaksinya enggan memberi sebarang kenyataan balas.

Katanya beliau akan memberikan komen selepas mendapat maklumat lebih lanjut mengenai isu berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen