malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib jijik dengan serangan di Jakarta
Diterbitkan:  May 25, 2017 3:01 PM
Dikemaskini: 7:09 AM
ADS

Insiden berdarah yang melanda Indonesia turut menguak simpati negara-negara jiran, termasuk Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara pemimpin negara yang tampil mengutuk serangan di Kampung Melayu, Jakarta Timur itu.

“Saya jijik dengan serangan malam tadi di Jakarta. Rakyat Malaysia berdiri teguh bersama warga Indonesia pada masa ini,” katanya.

Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala lima orang awam dilaporkan cedera dalam insiden dua letupan bom, dipercayai sebagai pengebom bunuh diri, kira-kira 9 malam waktu tempatan malam tadi.

Menulis di Twitter, Najib berkata apa yang berlaku menunjukkan kegiatan keganasan tidak mempunyai sempadan dan tidak mengenal warna kulit.

Lebih-lebih lagi selepas serangan bom di Manchester sebelum ini, katanya lagi.

“Walaupun pengganas cuba mengganggu kita, jangan takut pada mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Singapura juga dilapor mengutuk keras insiden di terminal bas yang mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan, termasuk anggota polis Indonesia.

"Kerajaan Singapura sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Indonesia untuk membawa pihak yang bertanggungjawab terhadap tindakan keganasan tercela itu ke muka pengadilan," menurut jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar.

"Kami ingin merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga yang dirundung kesedihan dan mendoakan mereka yang cedera agar segera sembuh," kata jurucakap berkenaan.

Setakat ini, menurut kementerian itu, tiada laporan berhubung rakyat Singapura yang tercedera atau terjejas secara langsung berikutan insiden itu.

Lihat Komen