Laporan tiga jabatan utama dalam pasukan siasatan khas kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) di Universiti Malaya bulan lalu telah siap, sumber-sumber mengesahkan kepada malaysiakini hari ini.
Tiga pasukan khas itu, selain polis, adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas (JBEG) dan Jabatan Kimia.
Setakat ini hanya jabatan bomba telah menyerahkan hasil siasatannya kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Satu sumber di kementerian itu berkata laporan tersebut telah diserahkan tiga hari lalu kepada menterinya Datuk Seri Ong Ka Ting.
Katanya laporan tersebut akan turut dikemukakan dalam mesyuarat kabinet dalam satu masa yang akan ditetapkan kemudian.
Malaysiakini hari ini difahamkan JBEG telah menyerahkan laporannya kepada polis sebentar tadi dan Jabatan Kimia akan menghantarnya esok. Bagaimanapun apabila dihubungi petang ini, dua jabatan itu enggan mendedahkan hasil siasatan itu.
Sementara malaysiakini gagal mendapatkan maklumat berhubung laporan siasatan polis.
Sumber kementerian itu pagi tadi memberitahu, laporan yang diterima setakat ini tidak akan diumumkan selagi tiga lagi kumpulan penyiasat itu, termasuk polis, tidak menyerahkan laporan masing-masing. Laporan lengkap siasatan kebakaran DTC itu akan diumumkan setelah pemimpin negara mendapat maklumat penuh itu, menurut sumber lagi.
Jabatan bomba dalam siasatannya dilaporkan menolak sebarang perbuatan khianat sebagai punca kejadian yang memusnahkan 90 peratus bangunan itu.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut, jabatan itu mengenal pasti tiga sebab kejadian itu: sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.
fitnah melulu
Jabatan itu dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina. Pengunaan tenaga elektrik di dewan itu pula meningkat kerana pemasangan pelbagai peralatan semasa persiapan menganjurkan 'Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' yang dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri pada 1 Julai.
Bagaimanapun, pemimpin utama negara dan Umno mendakwa kejadian itu boleh dikaitkan dengan pengedaran risalah yang menggesa acara itu dipulaukan. Mereka turut menyalahkan kumpulan pelajar universiti itu yang dituduh terlibat dalam gerakan militan dan kegiatan antikerajaan.
Akhbar-akhbar juga cuba mengaitkan tangkapan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohamad Fuad Mohd Ikhwan dan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan kebakaran DTC.
Jurucakap Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI), Syahrir Mahmood ketika dihubungi menyelar pihak kerajaan kerana menuduh pelajar terlibat dalam kejadian itu.
"Kalau benar laporan jabatan bomba itu, fitnah melulu (kepada pelajar) itu semata-mata untuk menekan kebangkitan mahasiswa yang sedang rancak berlaku (sekarang)," katanya kepada malaysiakini .
Kebakaran itu, menurut laporan awal siasatan, berlaku kira-kira pukul 3 pagi tetapi pasukan bomba hanya dimaklumkan pada jam 3.40 pagi. Ketika pasukan itu sampai, 50 peratus dewan telah rosak. Menurut akhbar, api merebak dengan cepat dan memusnahkan keseluruhan bangunan lama dengan struktur kayu dalam masa 30 minit.
Menurut akhbar hari ini, kerugian yang dialami lebih RM12.4 juta dan kebakaran itu turut memusnahkan 2,000 jubah dan 1,800 topi akademik untuk majlis konvokesyen yang dijadualkan bulan ini.