malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pejabat seorang lagi MP Selangor diaudit
Diterbitkan:  May 24, 2017 8:07 PM
Dikemaskini: 12:09 PM
ADS

Selepas anggota parlimen Kelana Jaya Wong Chen, perbelanjaan pusat khidmat seorang lagi wakil rakyat di Selangor turut diaudit, dedah Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Kata Rafizi, G Manivannan (Kapar) turut diaudit oleh perbendaharaan negeri Selangor.

“Tidak (pejabat saya tidak diaudit).

“(Pejabat) Wong dan Manivannan (yang diaudit),” katanya kepada pemberita di pejabat NGO diasaskannya Invoke di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi juga berakta jika terdapat perbelanjaan yang tidak kena dan ketempangan dalam perakaunan diteliti, tindakan akan diambil.

Ketika dihubungi, Manivanan bagaimanapun berkata tidak berada di pejabat pada masa itu dan tidak dapat mengulasnya.

“Ia urusan dalaman, saya kena semak dulu jika saya boleh beri sebarang kenyataan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berdepan isu sama seperti Wong Chen, Manivannan berkata:

“Itu Wong Chen. Kita sabar dulu. Tunggu reaksi mereka (kerajaan negeri)”.

Wong Chen semalam meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara audit itu dijalankan untuk perbelanjaan 2014 dan 2015 yang dikatakan dibuat tanpa pengetahuannya.

Menulis di Facebook, beliau mendakwa audit itu dilakukan secara misteri dan tanpa melalui proses yang adil dan sewajarnya.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali pula memberitahu pemberita di Shah Alam bahawa beliau tidak maklum berkaitan perkara itu.

Beliau juga berkata bukan tanggungjawabnya untuk campur tangan dalam proses yang dijalankan oleh Jabatan Audit.

“Kita tidak kacau jabatan audit kerana ia badan yang bebas,” katanya.

Dalam kes Wong Chen, walaupun tiada amalan rasuah dalam penemuan audit, beliau berasa dinafikan hak untuk mengetahui penemuan yang tidak mematuhi garis panduan Selangor.

Antara penemuan audit yang menimbulkan tidak puas hatinya, adalah tumpuan sebahagian besar bantuan kewangan kepada penduduk miskin di kawasan Desa Mentari.

Satu lagi penemuan audit berkenaan adalah pejabat Wong Chen memberi bantuan kewangan kepada 68 individu miskin yang sama pada tahun 2014 dan 2015.

Malaysiakini semalam telah cuba menghubungi perbendaharaan Selangor tetapi tidak berjaya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen