malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Pengumuman firma China, Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) membeli 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holdings Bhd (Proton) menarik perhatian banyak pihak.

Selain membeli pegangan 49.9 peratus dalam Proton, Geely juga akan membeli kepentingan 51 peratus yang dipegang oleh Proton Holdings dalam syarikat pengeluar kereta sport British Group Lotus Plc.

Kedua-dua pihak dijangka menandatangani Perjanjian Definitif pada bulan Julai ini.

Antara yang paling terkesan dengan berita itu ialah golongan bersemangat patriotik tinggi yang begitu kecewa apabila aset yang menjadi kebanggan negara sejak tahun 1983 itu kini menjadi milik firma asing.

Mana tidak berbangga kerana selain kereta berjenama Proton menjadi pilihan nombor satu rakyat negara ini dan membanjiri jalan raya sejak sekian lama, kilangnya di Tanjung Malim yang bernilai RM1.8 juta dan beroperasi pada tahun 2003 juga dibina atas kekuatan tunai yang dimilikinya.

Dari Saga kepada Ertiga

Dari generasi pertama Proton Saga sehinggalah pengeluaran banyak model lain - seperti Wira, Iswara, Satria, Gen-2, Waja dan Ertiga - Proton terus gah di atas jalan raya dan menjadi 'periuk nasi' kepada ribuan kakitangan serta para vendornya yang ada antaranya menjadi jutawan kerana Proton.

Tidak kurang juga di kalangan mereka terutama golongan muda yang tercongak-congak untuk membeli kereta asing pada kadar yang lebih murah setelah perlindungan terhadap Proton kini dihapuskan.

Sepatutnya, duti import kenderaan yang selama ini digunakan untuk melindungi Proton dikurangkan atau dihapuskan sama sekali kerana keperluan untuk itu tiada lagi dan kerajaan mampu menampung 'kehilangan' pendapatan itu dengan pelaksanaan GST.

Apapun juga tanggapan orang ramai terhadap urusniaga tersebut, Proton sememangnya tidak terlepas daripada keperluan untuk bergabung dengan gergasi automotif dunia bagi tujuan pengembangan perniagaannya.

Proton ke persada dunia

Dengan segala kelebihan yang dimiliki Proton terutama kelengkapan perkilangan yang mampu menghasilkan sehingga sejuta unit kenderaan setahun serta kemampuan bahagian kejuruteraan yang mendapat tunjuk ajar banyak firma automotif terkenal seperti Ricardo dan Lotus sebelum ini, Proton mampu untuk menerjah ke pasaran lebih luas.

Terutamanya, dengan bergabung dengan Geely, Proton berkemungkinan dapat menembusi pasaran China yang mencatatkan jualan kenderaan hampir 20 juta unit pada 2016 atas kerjasama Geely yang menguasai 10 peratus pasaran negara itu.

Ini bermakna pasaran untuk Proton akan menjadi lebih luas berbanding hanya 600,000 unit kenderaan yang terjual di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu dan terpaksa bersaing dengan kenderaan keluaran Perodua, Toyota, Honda, Kia dan banyak lagi.

Untuk tujuan itu, pastinya beberapa model Proton perlu melalui proses pembangunan semula menerusi program rebadge bagi menetapi dan menjiwai kehendak pasaran China terutama model kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya.

Nasib pekerja Proton

Walaupun peluang untuk Proton berkembang nampak cerah dengan pengambil alihan oleh Geely itu, namun apa yang dibimbangi kini ialah nasib kakitangan Proton yang dikhuatiri terjejas ekoran penggabungan tersebut dengan Geely.

Setakat tahun lepas, Proton dipercayai mempunyai sekitar 12,000 orang kakitangan manakala 50,000 lagi bekerja dengan para vendornya.

Selaku pemegang saham terbesar dalam Proton, Geely pastinya mendominasi kekuatan sumber manusianya, apatah lagi kos buruh dari China adalah jauh lebih rendah berbanding paras semasa pekerja tempatan kerana skala ekonomi yang mampu dijana hasil bilangan rakyat bekas negara itu.

Seperti mana-mana proses penggabungan dan pengambilalihan (M&AS) sebagai contoh, jika dahulunya dua syarikat ini dahulunya memerlukan dua ketua jurutera untuk mengawal selia proses pengeluaran, maka setelah digabungkan, keperluan bilangan ke atas jawatan tersebut pastinya berkurangan.

'Untung rugi vendor'

Hal yang sama juga dibimbangi menimpa nasib ratusan vendor langsung Proton yang selama ini mampu meneruskan perniagaan hasil membekalkan peralatan alat ganti serta kelengkapan lain yang diperlukan Proton.

Apabila Geely sudah menguasai Proton, pastinya mereka mula membandingkan kecekapan kos perniagaan dan persoalan mula timbul mengenai kemampuan para vendor-vendor tempatan untuk bersaing harga dengan pengeluar China.

Semua tahu bahawa China mampu menawarkan kos yang jauh lebih murah kerana menikmati skala ekonomi yang jauh lebih besar sampaikan Indonesia sendiri kini banyak mengambil produk dari China walaupun sebelum ini cukup terkenal sebagai 'syurga' membeli-belah di kalangan warga tempatan.

Sesungguhnya, pembelian Proton oleh Geely yang memiliki syarikat pembuatan kereta Sweden, Volvo itu tampak positif untuk syarikat itu dalam meneruskan survival perniagaannya namun mampukah kilang Tanjung Malim yang sebelum ini memasang dan mengeluarkan model kereta sendiri.

Atau kilang Proton di bandar yang terkenal dengan pau Yik Mun itu akan bertukar menjadi lokasi utama untuk hanya pasang pintu, bonet, cermin dan lain-lain model kenderaan Geely daripada China.


AMRAN AHMAD ialah sebahagian sidang redaksi Malaysiakini.

Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen