Proton kini di tangan Geely Holding, China

(Dikemaskini )

Syarikat DRB-Hicom akan menjual 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holdings kepada syarikat pembuat kereta China, Kumpulan Zhejiang Geely Holding.

Menurut DRB-Hicom, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan akan memeterai Perjanjian Definitif pada Julai 2017.

Syarikat bermasalah itu juga dilaporkan akan menjual semua kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta sport British, Lotus kepada Geely dan Etika Automotive Sdn Bhd.

"Perjanjian itu juga akan menyaksikan Proton menjual keseluruhan ekuitinya dalam Lotus yang akan melihat kumpulan itu tidak lagi akan berkecimpung dalam segmen kereta sport," kata DRB-Hicom yang dipetik oleh portal The Star.

Dengan keputusan itu, Geely yang menguasai Geely Automobile Hong Kong dan Kumpulan Kereta Volvo Sweden menjadi pemilik kereta nasional negara yang diasaskan pada tahun 1983 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Geely Holding, yang juga memiliki The London Taxi Company, adalah antara syarikat pembuat kenderaan penumpang terkemuka di China.

Ia mempunyai kemudahan di sebahagian besar dunia, termasuk 16 kilang pembuatan, tujuh studio reka bentuk dan lima pusat penyelidikan dan pembangunan.

Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata perjanjian itu bagi memastikan jenama Proton akan terus berkembang.

"Hasrat kami adalah sentiasa untuk memastikan nama Proton terus giat semula. Ia adalah jenama kereta nasional pertama di Malaysia dan mempunyai sejarah lebih 30 tahun.

"Perjanjian ini akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan jenama yang sebatii dengan rakyat Malaysia," katanya.

Kerajaan, sebelum ini mengarahkan DRB-Hicom, sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, supaya mencari rakan kongsi strategik untuk Proton Holdings sebagai sebahagian daripada syarat sebelum pinjaman mudah RM1.5 bilion disalurkan tahun lalu.

[Baca berita penuh]

Share