malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Mat Over, David Teo duduk sama, macam inilah bagus'
Diterbitkan:  May 23, 2017 9:40 PM
Dikemaskini: 2:51 PM
ADS

Kelibat penerbit filem, David Teo yang duduk diapit pelakon Mat Over dan Datuk Rosyam Noor dalam satu majlis hari ini mencuri tumpuan perdana menteri.

Ketika ucapannya, Datuk Seri Najib Razak menjadikan Mat Over dan David sebagai contoh bagi memupuk perpaduan di negara ini.

Mat Over, atau nama sebenarnya Sulaiman Yassin dan Teo terlibat dalam perbalahan di hadapan Najib semasa dialog TN50 di kediaman rasmi perdana menteri minggu lalu.

"Ni, depan saya ni, nampaknya saudara Mat Over pun hadir dan Mejar David Teo pun ada, duduk sama-sama lagi.

"Macam ni la bagus, ini yang saya mahu sebagai PM dan kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu-padu, barulah Malaysia akan berjaya," kata Najib pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Nasional 2016 di UiTM, Shah Alam.

Menurut Najib, apa yang dilakukan beliau dan kerajaan pada masa ini adalah demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum.

"Jadi kita tidak mahu gaduh-gaduh, kita nak semua berbaik-baik, tolong–menolong antara satu sama lain, agar negara kita aman dan makmur,," katanya.

Rabu lalu, Najib menjadi tuan rumah pada sesi dialog TN50 bersama penggiat seni di kediaman rasminya di Putrajaya.

Kekecohan berlaku apabila Teo meluahkan rasa tidak puas hati kerana tidak dapat bertanyakan soalan dan cara Rosyam mengendalikan sesi dialog itu.

Bagaimanapun, belum sempat menghabiskan pantunnya, Mat Over meluru ke arah penerbit filem itu dan menamparnya kerana menyifatkannya biadap di hadapan perdana menteri.

Keadaan itu menyebabkan anggota keselamatan meleraikan mereka.

Najib kemudian meminta kedua-dua selebriti itu supaya memohon maaf dan bersalaman antara satu lain.

 

Lihat Komen