malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
RM90,000 untuk ijazah pertama UM 'bukan proses normal'
Diterbitkan:  May 23, 2017 5:15 PM
Dikemaskini: 9:19 AM
ADS

Keputusan Universiti Malaya (UM) untuk menawarkan “pengambilan langsung” untuk program sarjana muda kejuruteraan dengan bayaran RM90,000 “bukan proses biasa”, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

“Ini bukan proses biasa, ini mungkin oleh sayap swasta (UM).

“Ini mungkin program lain yang sedang dilaksanakan, (seperti) kursus swasta yang ditawarkan oleh beberapa universiti awam lain,” katanya kepada pemberita selepas bercakap dalam persidangan Pendidikan Tinggi Nasional 2017 di Kuala Lumpur hari ini.

Idris memastikan “proses biasa” - permohonan ke universiti awam melalui Unit Pengurusan Universiti (UPU) kementeriannya, tidak berubah.

Beliau tidak mengulas ketika ditanya sama ada kementeriannya tahu berkaitan langkah itu atau sama ada tindakan akan diambil terhadap UM.

Idris bagaimanapun menegaskan tiada kenaikan yuran untuk pelajar ijazah pertama.

“Untuk kejuruteraan, mereka (pelajar) hanya bayar RM3,000 walaupun kos sebenar sarjana muda kejuruteraan lebih RM30,000... jadi tidak benar pelajar terpaksa bayar lebih daripada itu, termasuk di UM,” katanya.

Menurut laman web Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), kursus sarjana muda kejuruteraan ditawarkan kira-kira 10 kali ganda daripada kadar subsidi.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) sebelum ini mengadu sistem itu akan mengurangkan tempat untuk pelajar yang memohon melalui UPU, sekali gus mewujudkan suasana tidak adil terhadap pihak yang tidak mampu.

Kumpulan itu turut membuat spekulasi bahawa sistem itu diperkenalkan susulan langkah kerajaan pengurangan peruntukan universiti.

[Baca berita asal]

Lihat Komen