malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes rasuah bekas exco Johor disebut semula 5 Julai
Diterbitkan:  May 23, 2017 11:31 AM
Dikemaskini: 3:45 AM
ADS

Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini menetapkan 5 Julai ini bagi sebutan semula kes rasuah membabitkan bekas exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub.

Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bagi penelitian dokumen sebelum perbicaraan ditetapkan.

Abd Latif diwakili oleh lima peguam diketuai Datuk Salehuddin Saidin manakala Amir Shariffuddin diwakili Azrul Zulkifli Stork dan Hazza Khalid.

Pada 19 April lalu, Abd Latif yang bertanggungjawab ke atas portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan Amir untuk menerima rasuah daripada beberapa individu.

Pemimpin Umno itu didakwa terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot bumiputera kepada pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek.

Amir Shariffuddin turut didakwa menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Semua kesalahan dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di beberapa lokasi.

 

Lihat Komen