Rais 'sukacita' Dr M tandatangan petisyen bebas Anwar

(Dikemaskini )

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin mahu membuka lembaran baru, kata Tan Sri Rais Yatim.

“Dulu lain, sekarang lain,” veteran Umno itu dilapor sebagai berkata oleh Sinar Online.

“Saya sukacita dengan tindakan beliau dan apa yang dilakukan itu adalah satu tindakan untuk mencapai keputusan dan keadilan sebaiknya.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku jejak Warisan Pembangunan dan Pembangunan Lembangan Sungai Pengkalan Datu Kelantan di sebuah resort di Kota Bharu hari ini.

Mahathir semalam menandatangani petisyen untuk membebaskan Anwar ketika menghadiri Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di Shah Alam.

Sementara itu, Sinar juga melaporkan tindakan Mahathir dalam petisyen untuk untuk membebaskan bekas musuhnya itu harus dipuji bagi mencapai keadilan sejagat.

Rais dilaporkan berkata, apa yang dilakukan Mahathir boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa sekatan.

“Namun ada pihak yang melihat beliau (Mahathir) sebagai punca suatu ketika dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

“Kalau beliau fikir Anwar harus dipetisnyenkan dan diberi taraf baru selain dari dipenjarakan ini boleh dilakukan oleh sesiapa pun malah oleh keluarga Anwar sendiri,” beliau dipetik sebagai berkata.

#}