Saya nak peluk Raja Salman sekali lagi - Najib

Anne Muhammad
(Dikemaskini )

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan memeluk Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebagai tanda terima kasih atas penambahan kuota haji rakyat Malaysia tahun ini.

Katanya, penambahan kuota haji itu merupakan salah satu jasa Umno kepada rakyat di negara ini.

"Siapa wujudkan Tabung Haji? (kita beri) subsidi... itu tak masuk lagi program haji 1MDB yang percuma untuk ketua kampung dan imam.

"Kita tahu inilah cara kita bela rakyat. Esok (hari ini) saya pergi Riyadh, jumpa King Salman sekali lagi saya nak peluk dia sebab bagi kuota khas untuk Malaysia.

"Ramai orang berkat naik haji kerana perjuangan Umno," kata Najib dalam ucapannya dalam program Umno bantu rakyat di Sekolah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang malam tadi.

Kuota haji rakyat Malaysia tahun ini ditambah daripada 27,900 kepada 30,200 orang.

Penambahan itu adalah hasil perbincangan antara Raja Salman dan Najib semasa lawatan negara Raja Arab Saudi itu ke Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, Najib dalam ucapannya turut mengulangi jasa baik Umno terhadap negara sempena ulang tahun yang ke- 71 tahun parti itu.

Katanya selama 71 tahun, Umnolah parti yang membantu rakyat dari segala sudut tanpa mengira musim.

"Sambut 71 tahun Umno bererti bukan saja maksud melangsungkan kekuasaan dalam konteks kepimpinan negara, tapi tanda 71 Umno bela untung nasib rakyat Malaysia.

"Jika kita himpunkan dan hitungkan apa kerajaan buat dan apa Umno buat, tentu skali sukar untuk menilai jumlah terbesarnya kerana bantuan dalam pelbagai bentuk terlalu besar.

"Kita buat bukan ikut musim tapi sepanjang tahun, saban tahun malah selama usia Umno kita terus menerus bantu rakyat," katanya.

Najib turut membidas pembangkang yang didakwanya hanya pandai menabur fitnah terhadap kerajaan tanpa memberikan sebarang jasa kepada rakyat.

"Pembangkang cakap banyak, tabur fitnah banyak tapi (jasa) tak buat. Tak ada jasa dan tak ada budi. Umno sebaliknya, sebab tu Allah bagi kemenangan pada Umno dalam pilihan raya," katanya.

Najib dijadual menyertai pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam pada satu sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di ibu negara Arab Saudi pada Ahad.

Beliau adalah antara pemimpin termasuk Raja Salman dan Trump yang dijadualkan berucap pada sidang kemuncak bersejarah itu yang bakal dihadiri oleh lebih 50 pemimpin Arab dan Islam.

Najib, yang dijadual tiba pada Sabtu, akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Share