Asas kukuh rangsang ekonomi, kata Najib

(Dikemaskini )

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata asas kukuh yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membantu merangsang ekonomi negara berkembang pada kadar 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini.

"Alhamdulillah, hasil asas kukuh yang telah kita laksanakan, ekonomi negara berkembang pada kadar memberangsangkan 5.6 peratus buat suku pertama tahun ini.

"Walaupun begitu, kita tidak akan leka sebaliknya terus berusaha pastikan ekonomi negara terus berkembang maju dari masa ke masa," katanya dalam catatan terbaharu di laman Twitter dan Facebook beliau, malam ini.

Terdahulu hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Muhammad Ibrahim semasa mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini berkata pertumbuhan bagi suku tersebut adalah yang terbaik sejak suku yang sama pada 2015, yang menyaksikan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.8 peratus.

Pada suku pertama tahun ini, permintaan domestik meningkat kepada 7.7 peratus, disokong oleh peningkatan berterusan dalam perberlanjaan swasta, yang tumbuh 8.2 peratus serta pemulihan perbelanjaan sektor awam.

Penggunaan swasta meningkat 6.6 peratus manakala pelaburan meningkat ketara sebanyak 12.9 peratus, diikuti perbelanjaan modal dalam sektor perkhidmatan dan pengilangan.

Pelaburan dalam peralatan dan mesin juga tinggi pada suku tersebut disokong oleh pelaksanaan beberapa projek berskala besar dalam sektor perkilangan.

- Bernama

Share