Keputusan mahasiswa saman UM 11 Julai


(Dikemaskini )

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan keputusan bagi saman empat penuntut Universiti Malaya (UM) terhadap institusi pendidikan itu berhubung tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mereka ditetapkan pada 11 Julai ini.

Hakim Mahkamah Tinggi S Nantha Balan menetapkan perkara itu selepas lebih dua jam mendengar hujah dari pihak UM sebagai defendan dan peguam yang mewakili empat penuntut itu selaku plaintif.

Empat penuntut UM - Anis Syafiqah Md Yusof, 25, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, 24, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli, 23, dan Suhail Wan Azahar, 23.

Sementara itu, peguam yang mewakili mahasiswa itu Surendra Ananth mempertahankan empat penuntut UM itu dengan mengatakan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di sisi undang-undang.

"Undang-undang yang ada di dalam negara ini hanyalah Perlembagaan Persekutuan. Universiti tidak berhak menghukum mana-mana mahasiswa, lagipun perhimpunan itu dilakukan di luar universiti.

"Jika mahu lakukan sebarang pindaan, hanya Parlimen yang boleh berbuat demikian. Mereka (UM) tidak boleh buat sebarang keputusan, hak berkumpul ini dijamin undang-undang.

"Mereka (mahasiswa UM) juga tidak lakukan sebarang kesalahan, bahkan tidak ada tindakan undang-undang diambil terhadap mereka hingga ke saat ini," hujahnya di mahkamah hari ini.

Dalam saman itu, kesemua plaintif berkata pada 27 Ogos 2016, mereka menyertai satu perhimpunan aman di ibu negara bagi menggesa kerajaan mengambil langkah mengenal pasti individu yang dinamakan sebagai Malaysian Official 1 dalam aduan yang dikemukakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan mereka didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UM pada 9 Disember 2016.

Plaintif berkata mereka didenda RM400 serta diberikan amaran selain Anis Syafiqah yang juga pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (Kesatuan), Mohamad Luqman Nul Haqim dan Muhammad Luqman Hakim digantung pengajian selama satu semester bermula Februari ini.

Mereka menuntut deklarasi bahawa Seksyen 15(3)(b) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Akta 1971) (AUKU) atau Peraturan 3 dan 13 Kaedah-Kaedah UM (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, tidak mengecualikan untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata sepertimana termaktub dalam Perkara 10(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dituntut satu deklarasi bahawa Seksyen 15(3)(b) AUKU dan Peraturan 3 dan 13 Kaedah kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan, selain deklarasi bahawa prosiding disiplin dan tatatertib yang dikenakan ke atas mereka menyalahi undang-undang.

Share