NGO tuntut Najib jelaskan penyelesaian 1MDB-IPIC

Geraldine Tong
(Dikemaskini )

Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) menyerahkan surat tuntutan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menggesa penjelasan mengenai 1MDB dan urusannya dengan International Petroleum Investment Co (IPIC).

GANT1, yang diketuai Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil ingin mengetahui apakah tindakan undang-undang yang telah atau akan diambil terhadap pegawai IPIC seperti Khadem Al Qubaisi dan Mohamed Badawy Al Husseiny.

Ia bagi mendapatkan semula AS$ 3.5 bilion (RM15.5 bilion) yang dibayar oleh 1MDB sebelum ini kepada Aabar Investments PJS Ltd.

Mereka juga mahu tahu apakah tindakan undang-undang yang telah atau akan dimulakan oleh 1MDB terhadap pengurusan sebelum ini tidak hanya terhad kepada bekas lembaga pengarah 1MDB dan lembaga penasihat.

Dalam surat tuntutan yang dihantar oleh peguam GANT1, Mohamed Haniff Khatri Abdulla bertarikh 18 Mei, responden diberi masa 14 hari untuk memberikan jawapan kepada soalan tersebut.

Surat tuntutan yang diterima Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada pukul 3.15 petang itu turut diterima empat responden lain; Kementerian Kewangan, 1MDB dan Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ini susulan memorandum oleh pemuda AMANAH kepada perdana menteri pada 4 Mei untuk meminta penjelasan mengenai perjanjian yang telah dicapai antara 1MDB dan IPIC selepas proses timbang tara dimulakan IPIC pada 2016.

IPIC telah memulakan tuntutan terhadap 1MDB di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa di London pada 2016, dengan meminta AS$6.5 bilion daripada syarikat pelaburan negara itu kerana gagal memenuhi tanggungjawabnya kepada IPIC.

Pada April tahun ini, IPIC dilaporkan berkata 1MDB dan MOF Inc telah bersetuju membayar AS $ 1.2 bilion dan juga memikul tanggungjawab terhadap dua bon yang sebelum ini dijamin oleh IPIC bernilai AS$ 4.8 bilion

Di bawah penyelesaian itu, 1MDB dan IPIC juga memasuki perbincangan mengenai dana 1MDB yang telah dibayar kepada entiti tertentu.

[Baca berita penuh]


Artikel berkaitan

Share