Senator: Berapa ramai pemimpin ada dua kerakyatan?

(Dikemaskini )

Seorang senator BN mempersoalkan tahap kesetiaan pemimpin pembangkang di negara ini dan meminta mereka membuktikan status kewarganegaraan.

Ini berikutan isu pelucutan kelayakan ADUN Pujut di Sarawak, Dr Ting Tiong Choon yang didakwa memiliki dua kerakyatan baru-baru ini.

“Justeru itu, saya mendesak dan mencabar kepimpinan pembangkang untuk membuktikan taat setia bahawa mereka sememangnya warganegara Malaysia.

“Setelah kes ADUN Pujut ini terbongkar, kini kepimpinan pembangkang perlu memikul tanggungjawab dan membuktikan kewarganegaraan mereka,” ujar Datuk Fahariyah Nordin.

Ketua Puteri Umno bahagian Ledang itu turut mempersoalkan berapa ramai lagi pemimpin pembangkang yang mempunyai dua kerakyatan susulan kes berkenaan.

“Ekoran daripada isu ini juga, sudah pasti kini timbul persoalan berapa ramaikah sebenarnya pemimpin pembangkang yang mempunyai dua kewarganegaraan.

“Ini kerana umum mengetahui ramai pemimpin pembangkang yang mempunyai hubungan istimewa dengan negara jiran maka tidak mustahil ada di kalangan pemimpin pembangkang telah memiliki kerakyatan negara tersebut,” ujarnya seperti dilapor Umno Online.

Kerusi Pujut dikosongkan selepas Dr Ting Tiong Choon dari DAP hilang kelayakan sebagai ADUN pada 12 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat selepas Wong Soon Koh (BN-Bawang Assan) mengemukakan usul terhadap Ting kerana didakwa memegang kerakyatan Australia.

Usul itu kemudian diluluskan menerusi undian yang menyaksikan 70 wakil rakyat menyokong penyingkiran Ting manakala 10 yang lain menentang. 

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pilihan kecil bagi kawasan berkenaan akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun.

DAP bagaimanapun mahu membawa kes itu ke mahkamah.


Artikel berkaitan

Share