MP: Ini pentadbiran 'baham gambang'

(Dikemaskini )

Pentadbiran Terengganu “baham gambang” susulan isu berkaitan pokok benang sutera yang menjadi mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus, kata anggota parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.

Ini susulan pokok yang nama saintifiknya ceiba speciosa dari Brazil itu dilaporkan mati kerana faktor cuaca, tanah dan baja, pada awalnya.

Exco negeri Rosli Othman, kemudian membetulkan kenyataan itu dengan berkata pokok dianggarkan RM180,000 itu tidak mati, “cuma nampak macam pokok mati."

“Namun setelah mendapat kritikan ramai rakyat Terengganu dan Malaysia, saya mendapati kerajaan negeri telah menafikan, ini menunjukkan pentadbiran mereka tidak terurus dan terburu-buru, orang Terengganu kata 'baham gambang',” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Raja Bahrin juga menolak penjelasan bahawa pokok itu dihadiahkan oleh kontraktor.

“Kalau betul baik bagi hadiah benda yang tidak boleh mati seperti pintu gerbang mercu tanda dan sebagainya,” katanya.

Berita Harian melaporkan Rosli sebagai memohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan berharap penjelasan terbarunya melenyapkan semua persoalan mengenainya.

"Maklumat terbaru diterima daripada nurseri yang bertanggungjawab menanam pokok berkenaan, menyebut pokok itu cuma mengalami proses keguguran daun, bukannya mati," beliau dipetik sebagai berkata semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif yang ditemui selepas merasmikan pelancaran hari minggu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) peringkat kebangsaan di Terengganu Trade Centre (TTC), di Kota Terengganu, turut berkata pokok itu tidak mati.

Share