malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Polis akan menyiasat serangan ke atas pengarah filem David Teo pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Putrajaya, malam semalam yang berlaku di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata, walaupun Teo dan penyerangnya, pelawak Sulaiman Yassin, kemudiannya berjabat tangan atas permintaan perdana menteri, namun kes itu tetap akan disiasat.

“Setakat tengahari, didapati tidak ada satu laporan polis dibuat pun, oleh yang demikian, apabila pihak polis mendapati perkara insiden ini telah pun diviralkan, adalah menjadi tanggungjawab polis untuk membuat satu laporan polis dan seterusnya menjalankan siasatan,

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan, dan jika disabitkan (kesalahan) boleh dihukum penjara sampai setahun atau denda hingga RM2,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosly berkata walaupun kedua-dua pihak bersetuju bahawa apa yang berlaku itu dianggap selesai, namun pihaknya terpaksa membuka siasatan kerana kejadian berlaku di hadapan perdana menteri.

Katanya, semua yang terlibat akan dipanggil untuk memberi kenyataan dan laporan siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk keputusan.

Sementara itu, Bernama memetik Rosly sebagai berkata setakat ini dua laporan polis berhubung kejadian itu diterima dengan satu daripadanya dibuat oleh orang awam di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur dan satu lagi laporan dibuat sendiri oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

"Pihak polis sendiri membuat laporan polis kerana tiada pihak yang tampil membuat laporan sehingga tengah hari tadi memandangkan video kejadian itu telah tular di media sosial.

"Pada 1 tengah hari, barulah ada satu laporan polis dibuat oleh orang awam yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu di Pudu," katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

Rosly berkata pihaknya akan menghantar laporan kepada timbalan pendakwa raya esok bagi mendapatkan arahan untuk menyiasat sebelum memanggil individu yang terlibat dan saksi kejadian untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

Rosly berkata siasatan tetap dibuat walaupun dua individu yang terlibat dalam kekecohan itu telah berdamai dan tidak membuat laporan polis.

Rosly dalam pada itu meminta pengguna media sosial berhenti memberikan sebarang komen atau membuat spekulasi berhubung insiden tersebut dan memberi peluang kepada pihak polis untuk membuat siasatan secara telus.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen