Kerajaan tidak perlu melayan permintaan untuk menaikkan harga gula, kata Ahli Parlimen Alor Setar dari PKR, Gooi Hsiao Leung.
Ia susulan kenyataan MSM Malaysia Holdings Bhd yang dilaporkan sedang mengadakan perundingan untuk menaikkan harga gula sebanyak 29 sen sekilogram lagi.
Permintaan tersebut dibuat walaupun kerajaan meluluskan kenaikan sebanyak 11 sen daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram kira-kira dua bulan yang lalu.
"Harapan rakyat adalah supaya Kerajaan Umno BN tidak peduli dengan gesaan pengeluar ini," kata beliau.
Dengan bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri yang kian mendatang, penggunaan terhadap komoditi tersebut dijangka meningkat.
Gooi berkata, pihak pengeluar tempatan melobi untuk menaikkan harga walaupun harga global gula mentah mengalami kejatuhan.
"Mengapa harga gula perlu dinaikkan tanpa justifikasi yang betul," katanya sambil menambah, rakyat sudah berdepan kenaikan kos sara hidup ekoran pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Daripada mendengar permintaan pengeluar produk gula, Gooi berkata kerajaan perlu hapus monopoli dua firma dalam industri berkenaan.
"Sebaliknya, kerajaan Umno BN seharusnya menghapuskan dasar monopoli gula yang selama ini menguntungkan individu-individu tertentu sehingga memperoleh hasil mencecah berbilion ringgit.
"Kerajaan sepatutnya membuka ruang persaingan untuk industri gula agar harga gula dapat bersaing di pasaran domestik untuk memastikan harga pasaran yang paling rendah," katanya.