malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid nafi penahanan 3 lelaki atas arahan k'jaan Turki
Diterbitkan:  May 17, 2017 6:15 AM
Dikemaskini: May 17, 2017 3:18 AM
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan penahanan tiga warga Turki minggu lepas, adalah atas arahan kerajaan negara berkenaan.

Beliau berkata penahanan tersebut dilakukan setelah menerima maklumat daripada Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) berhubung penglibatan mereka.

"Tiga warga Turki terbabit merupakan anggota pertubuhan yang telah diwartakan haram di negara mereka, dan penahanan mereka tidak dibuat atas arahan daripada mana-mana pihak.

"Jika badan hak asasi manusia ingin membantu mereka, boleh berhubung terus dengan kerajaan Turki," katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Kenangan Persatuan Pegawai Kanan Polis Pencen Malaysia (RESPA) 2017 di ibunegara malam tadi.

Semalam, sebuah portal tempatan melaporkan Stockholm Centre of Freedom (SCF) mendakwa kononnya Malaysia menjalankan 'kerja-kerja kotor' Presiden Turki, Reccep Erdogan ekoran tindakan mengusir tiga rakyat Turki dari Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah, beliau berkata pihak berkuasa masih belum menemui sebarang bukti berhubung dakwaan berkenaan.

"Kita sudah membuat pemeriksaan tetapi setakat ini belum jumpa lagi apa-apa yang boleh dikaitkan, jadi tiada bukti laporan itu tepat," katanya.

Kelmarin dilaporkan seorang pekerja ladang berusia 52 tahun membuat laporan polis selepas terserempak lima lelaki bersenjata di ladang Sawit Blok 8, Felda Sahabat 2, Cenderawasih dekat Lahad Datu ketika membersihkan kebun sawit.

Lima lelaki bersenjata itu juga dikatakan sempat memberitahu pekerja ladang tersebut bahawa 37 orang telah mendarat di pantai dan tujuan mereka datang adalah untuk menyelamatkan penduduk di Sabah.

'Dua kewarganegaraan'

Sementara itu, dalam sidang media selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Kemudahan Awam Ibrahim International Business District (IIBD) di Johor Bahru semalam, Zahid berkata, kewarganegaraan seseorang rakyat Malaysia akan gugur secara automatik sekiranya didapati pernah memegang dua kewarganegaraani.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata situasi ini jelas terkandung dalam Perlembagaan Malaysia yang menyatakan mana-mana rakyat Malaysia akan terbatal kewarganegaraannya jika pernah memohon dan menjadi warganegara di negara lain.

"Kita harus melihat kepada perundangan di negara kita terutama dari segi perundangan tertinggi iaitu perlembagaan negara kita yang hanya iktiraf satu kewarganegaraan untuk rakyat Malaysia.

"Jika mana-mana rakyat Malaysia yang mempunyai taraf dua kewarganegaraan maka ia akan gugur secara automatik apatah lagi jika rakyat Malaysia itu pernah memohon dan menjadi warganegara di sebuah negara lain," katanya mengulas isu anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon yang dilucutkan kelayakan sebagai ADUN dalam Persidangan Dewan Negeri itu, Jumaat lepas.

Zahid berkata keputusan yang dibuat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu boleh dicabar atau dibawa ke mahkamah oleh parti politik yang berkenaan.

Namun, beliau menegaskan Perlembagaan Malaysia haruslah tetap dijunjung sebagai sistem perundangan yang terulung dan dihormati semua pihak.

"Ini bukan soal mempolitikkan isu tetapi ini adalah soal prinsip yang telah dijunjung oleh seluruh sistem perundangan dan rakyat Malaysia," katanya.

Minggu lepas, usul bagi melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai ADUN Pujut diluluskan dalam persidangan hari Kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Sarawak ke-18.

Usul itu yang disokong 70 ADUN dan 10 menentang dikemukakan selepas Dr Ting dikatakan mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia setelah lama bermastautin di sana.

Pusat CMC

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata Malaysia mempunyai Pusat Serantau Digital Bagi memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) dan sebuah agensi masing-masing di Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar Negeri bagi memantau individu yang termasuk dalam 'senarai disyaki.'

Katanya, menerusi usaha yang dilakukan kedua-dua badan ini, individu-individu yang berada di rantau Asia Tenggara dan dahulunya pernah ingin menubuhkan pasukan pengganas dipanggil 'Katibah Nusantara' untuk dihantar ke luar rantau Asia, sudah pun dapat disekat.

"Ada kalangan mereka berada di selatan Thailand ataupun di selatan Filipina ataupun dari Indonesia yang dulu pernah cuba gunakan Malaysia sebagai pangkalan untuk pergi ke Syria dan Iraq tetapi melalui CMC dan agensi yang ditubuhkan ini, beberapa tindakan susulan telah dilakukan pihak unit anti keganasan PDRM," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai merujuk laporan sebuah akhbar semalam yang menyebut sekurang-kurangnya 30 pejuang asing yang tidak dibenarkan masuk ke Syria kini berada di Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen