malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiga lagi pegawai zakat P Pinang direman
ADS

Tiga lagi pegawai Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang zakat negeri.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret L. Umma Devi yang membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Semalam Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Abd Aziz Aban dalam kenyataan berkata, tiga pegawai lelaki itu yang berusia antara 33 dan 49 tahun, ditahan kira-kira 4.30 petang, Isnin di pejabat ZPP.

Jumlah itu menjadikannya 15 individu telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan tersebut.

Sebelum ini, SPRM Pulau Pinang menahan 12 suspek termasuk pegawai kanan dan tiga pegawai ZPP serta lapan kontraktor berusia antara 41 dan 52 tahun.

Dua pegawai ZPP telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 setiap seorang manakala lapan kontraktor turut dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

Bagaimanapun, tempoh reman bagi pegawai kanan ZPP dan seorang lagi pegawai badan itu disambung empat hari lagi bermula semalam.
-Bernama

Lihat Komen