malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PERKASA: Kalau tak lepas jawatan exco, PAS dayus
ADS

Exco PAS di Selangor terus didesak untuk melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang diterajui PKR.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana PAS sudah tidak lagi mempunyai hubungan kerjasama dengan pakatan pembangkang itu.

Malah, kata Ibrahim, PAS juga tidak boleh berdalih bagi mengekalkan exconya dengan alasan menjaga mandat rakyat selain menyifatkan pemimpin parti Islam itu sebagai "dayus" jika enggan berbuat demikian.

"Secara prinsipnya tiga exco PAS di Selangor patut letak jawatan, itu pandangan saya sebagai ahli politik.

"Mereka kena letak jawatan kerana tidak ada lagi hubungan antara PAS dengan Pakatan Harapan dan mereka tak boleh berdalih untuk terus pegang jawatan atas dasar mandat rakyat," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur, hari ini.

Ibrahim berkata, apabila wakil rakyat PAS dilantik sebagai exco kerajaan negeri, perkara itu tiada kena mengena dengan mandat pilihan raya.

"Ia adalah kuasa menteri besar untuk memilih mereka menjadi exco kerajaan negeri.

"Jadi, kalau mereka tak letak jawatan itu namanya dayus dan kita boleh tafsir ini kerana mereka mempunyai kepentingan kebendaan, sayang nak lepas jawatan," kata Ibrahim.

Pada 11 Mei lepas, Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR kerana parti itu dikatakan melanggar beberapa syarat kerjasama politik yang terjalin sekian lama.

Ekoran keputusan Majlis Syura itu, Umno Selangor mendesak ketiga-tiga exco PAS di negeri itu melepaskan jawatan mereka.

Bagaimanapun, PAS dalam sidang medianya hari ini menegaskan exconya tidak akan berganjak selagi tidak diarah berbuat demikian oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti itu akan mengabaikan sebarang arahan letak jawatan daripada menteri besar kerana exco mereka dilantik dan menjalankan tugas atas perkenan sultan.

Takut masuk AMANAH

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata tiga Exco PAS itu perlu berani meletak jawatan jika mahu parti itu dipandang tinggi.

"Saya percaya jika PAS letak jawatan, parti itu akan dipandang tinggi dan maruah PAS juga. Selebihnya biar rakyat menilainya tak perlu dolak dalih dan jangan guna institusi diraja untuk selindung (kekalkan jawatan).

"Mana mungkin dah cerai tetapi duduk satu rumah. Ini dah jadi khalwat politik," kata Ibrahim.

Selain itu, Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Tok Him turut menyifatkan PAS Pusat sebagai penakut kerana tidak berani meminta ketiga-tiga exconya melepaskan jawatan.

Ini kerana katanya, ketiga-tiga exco berkenaan mungkin akan keluar parti dan menyertai AMANAH sekiranya dipaksa meletakkan jawatan.

"Itu yang mungkin PAS takut untuk exco PAS Selangor letak jawatan," tambahnya.

 

 

Lihat Komen