malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
CEO Mkini didakwa kerana video kritik AG
Diterbitkan:  May 15, 2017 12:55 PM
Dikemaskini: 4:58 AM
ADS

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran didakwa di Mahkamah Siber Kuala Lumpur susulan penyiaran video di laman web KiniTV.

Pertuduhan itu sama dengan yang dihadapkan kepada Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan pada November tahun lalu.

Kedua-dua mereka mohon dibicarakan.

Pertuduhan itu dibuat susulan penyiaran video sidang media bekas naib presiden Umno Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan pada Julai tahun lalu bertajuk: "Khairuddin: Apandi Ali is not fit to be AG and he should quit immediately".

Video itu dimuat naik ke seksyen bahasa Inggeris dan Melayu KiniTV pada 27 Julai.

Mohd Sophian Zakaria yang mengetuai pendakwaan bagi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)Mohd Sophian Zakaria memohon ikat jamin ditetapkan pada RM10,000 dan penyerahan pasport Premesh.

Pihak pendakwaan berhujah, Premesh yang tinggal di London kerana urusan sabatikal, berisiko meninggalkan negara ini.

Peguam Fahri Azzat bagaimanapun berkata anak guamnya telah bersusah payah pulang dari London semata-mata untuk didakwa di mahkamah dan sudah berjanji akan hadir semasa prosiding.

Hakim kemudian memutuskan hanya bon peribadi diperlukan dan Premesh juga tidak perlu menyerahkan pasport.

Pengurusan kes ditetapkan pada 15 Jun. Tarikh pendengaran kes akan ditetapkan kemudian.

Peguam Malaysiakini juga berhasrat memfailkan cabaran daripada aspek undang-undang terhadap pertuduhan itu dalam tempoh dua minggu.

Premesh and Gan dituduh berasingan bawah Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) yang mempertanggungjawabkan pengarah atau pegawai kanan sesebuah syarikat atas kesalan bawah CMA.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000, atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Denda RM1,000 sehari juga boleh dikenakan untuk setiap hari kesalahan sehinggalah tarikh sabitan.

KiniTV Sdn Bhd pula didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) akta sama, berkaitan penggunaan salah kemudahan jaringan. Kesalahan ini memperuntukkan hukuman sama.

[Baca berita asal]

Lihat Komen