malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka melengkapkan siasatan terhadap dana syarikat SRC International (SRC) bernilai RM42 juta yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak, dalam tempoh sebulan.

Ia dinyatakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini.

Ditemui media sempena Mesyuarat Pegawai Kanan Undang-undang Asean (Aslom) ke-17 di Putrajaya, Apandi berkata, siasatan itu dijangka disiapkan selewat-lewatnya sebulan.

"Saya tidak tahu hasil siasatan itu, saya belum tengok.

"Arahan saya ialah lengkapkan siasatan dan saya akan beri arahan lanjut," katanya.

Apandi bagaimanapun enggan mengulas mengenai kandungan didedahkan blog SPRMInsider yang mendakwa dana SRC itu turut disalurkan ke beberapa individu serta syarikat yang dikaitkan dengan Umno.

"Woh moh zai, woh ai dui. (Saya tak tau, saya nak balik dah)," katanya dalam loghat Hokkien.

Apandi juga berkata, orang ramai patut lebih bimbang mengenai isu Pulau Batu Puteh yang dipertikaikan di peringkat antarabangsa.

Beliau sebelum itu turut memberikan perkembangan terkini mengenai pertikaian berkenaan.

"Jika anda benar-benar rakyat Malaysia, anda patut menulis lebih banyak mengenai Pulau Batu Puteh. Itu untuk negara," katanya.

Ketika wartawan mencelah bahawa mereka juga bimbang terhadap SRC, Apandi menjawab: "Anda patut lebih bimbang mengenai Pulau Batu Puteh, terima kasih banyak-bayak."

Awal bulan lalu Apandi mengejutkan orang ramai apabila mengkelaskan kes SRC sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut) yang tidak bermakna kes itu ditutup.

Mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh, Apandi menyatakan, kerajaan sedang menunggu jawapan balas dari Singapura yang sepatutnya dikeluarkan menjelang 14 Jun.

"Jadi apabila mereka memberikan maklum balas, kita akan lihat dan bertindak sewajarnya," katanya.

Beliau juga memberitahu kes itu berjalan lancar dan lima penyelidik sedang melakukan tugas di London setiap hari bagi mengumpul maklumat berkaitan.

"Ada ribuan dokumen yang perlu diteliti, mereka belum habis lagi dan sedang melakukannya sekarang," katanya. 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen