malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN | Maaf cakaplah kalau saya kata, sama ada Menteri Basar Selangor Datuk Seri Azmin Ali arah atau tidak, gesa atau tidak, kedudukan tiga orang exco PAS dalam kerajaan Selangor susah untuk dipertahankan tetapi jalan keluarnya ada.

Tiga orang itu - Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib - tidak lagi layak menduduki exco kerajaan negeri. Termasuk mereka, PAS ada 13 ahli dalam Dewan Undangan Selangor setelah dua keluar untuk menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Macam mana mereka hendak terus mengisi jawatan itu sedangkan parti mereka secara sahih dan lantang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR?

Mula-mula mari kita fahami asas penyertaan PAS dalam kerajaan Selangor. Ia adalah hasil tahaluf siyasi di antara PAS dengan PKR setelah PAS pecah berikutan pemilihan tahun 2015.

Sebahagian besar pemimpin PAS bukan aliran agama yang kalah pemilihan itu keluar untuk menubuhkan AMANAH dan PAS menamatkan kerjasama dengan DAP tetapi mengekalkan kerjasama dengan PKR. Serentak itu PAS mula bermanja-manja dengan Umno.

PAS pecah kerana perwakilan yang dipengaruhi oleh golongan agama (saya tak berani guna gelaran ulama) menendang keluar semua pemimpin yang bukan daripada aliran agama.

Hakikatnya pemimpin bukan tuan guru dan tok lebai inilah yang menolong memberikan imej terbuka kepada PAS dan dengan imej itu PAS berjaya menarik orang Melayu bandar dan terpelajar untuk menyokongnya.

Golongan agama yang mengangguk

Tetapi kematian Almarhum Tok Guru Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2015 membawa bersamanya sifat dan sikap positif dalam PAS seperti keyakinan diri, keterbukaan dan keterangkuman.

Sekali gus ia menyukarkan kerjasama PAS dengan parti-parti Pakatan Rakyat. Ini menjadi bertambah rumit berikutan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun yang sama.

Di bawah kepemimpinan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang PAS menjadi tertutup, kurang keyakinan, bercelaru dan amarah. Bagi saya ini adalah manifestasi sifat dan sikap Abdul Hadi sendiri.

Kalau kita dalami, tidaklah ada apa-apa yang luar biasa atau “magical” dengan tahaluf siasi kecuali ia adalah dalam bahasa Arab. Dalam bahasa kita, ertinya kerjasama politik.

Pada akhir-akhir ini PAS suka menggunakan istilah bahasa Arab. Umno pun sudah terikut-ikut. Kita pun tahu sebabnya. Orang Melayu hari ini mudah terpengaruh dengan segala sesuatu yang berciri Arab akibat proses pengaraban orang Melayu.

Maaf cakaplah kalau saya kata, banyak orang Melayu nak jadi Arab walaupun dunia Arab makin hari makin kacau-bilau, berperang sesama sendiri dan mundur.

Kerana kurang keyakinan diri, Abdul Hadi mengelilingi dirinya dengan orang daripada jenis yang dia rasa selesa iaitu golongan agama yang mengangguk.

Azmin buka jalan

Di luar PAS pula, dia hanya akrab dengan perdana menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Itu pun kata orang, bukan kerana dia kenali dan percayakan Najib secara mendalam tetapi khabarnya kerana Najib telah berjasa kepadanya.

Ikut cerita, kemesraan itu terjalin apabila Abdul Hadi jatuh sakit ketika dalam lawatan ke Turki pada 2014. Khabarnya kerajaan pusat menghulurkan bantuan.

Sejak itu Abdul Hadi menjadi saudara kembar politik Najib. Mereka hadir bersama di banyak majlis berbentuk agama. Malah ada masa berbaju Melayu sewarna.

Menang daripada aspek apa pun mereka nampak sehati sejiwa, hidup mati bersama. Maka tidak hairanlah timbul dakwaan dan tuduhan bahawa PAS atau wakilnya telah menerima sejumlah wang yang besar daripada Umno dan akan berpakat dengan Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

PAS membantah keras dakwaan itu dan sedang mengambil tindakan saman malu terhadap portal berita Sarawak Report di London. Portal berita itu mendakwa PAS menerima derma RM90 juta daripada Umno.

Tetapi gaya hidup mewah sesetengah pemimpin agama PAS menyebabkan banyak orang percaya bahawa PAS memang ada sumber pendapatan baru yang lumayan.

Mustahil pemimpin PAS mampu mengamalkan gaya hidup mewah dengan kereta Audi Q7 yang harga barunya RM590,000 kalau mengharapkan kutipan derma daripada ahli ketika ceramah dan muktamar.

Berbalik kepada ADUN PAS dalam DUN Selangor. Mereka tidak ada pilihan melainkan berpisah daripada PKR kerana itulah implikasi pembatalan tahaluf siyasi dengan PKR.

Tapi jika mereka hendak kekal juga sebagai rakan PKR dan duduk dalam exco, caranya ialah dengan keluar PAS dan menjadi Adun bebas.

Atau lagi bagus kalau mereka menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan dalam kerajaan Selangor. Mereka boleh sertai PKR atau mereka boleh ikut rakan-rakan mereka yang telah menyertai AMANAH.

Satu lagi kemungkinan – walaupun kecil – ialah mereka mengisytiharkan PAS Selangor sebagai bebas daripada PAS pusat macam berlaku kepada Parti Kongres India yang ada Kongres pusat dan Kongres negeri.

Azmin telah pun membuka jalan ke arah itu apabila beliau dilaporkan berkata PAS masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat yang dimenanginya pada PRU 2013.

Wallahuaklam.


DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Artikel ini dimuatkan kali pertama dalam blognya. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen