malaysiakini logo
story-image
ADS

Sembilan perjanjian perniagaan dimeterai antara syarikat Malaysia dan China di Beijing pada Ahad dengan cadangan pelaburan bernilai AS$7.22 bilion (kira-kira RM31.3 billion).

Memorandum Persefahaman (MoU) itu adalah bagi pelbagai sektor terutamanya kerjasama dalam pembinaan, pertanian, bursa saham, prasarana dan pelabuhan dan lapangan terbang.

Majlis permeterian pelbagai perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kebanyakan projek itu akan dilaksanakan di Malaysia.

Pelaburan tertinggi adalah bagi Perjanjian Perikatan Strategik antara Johor Corporation dan Siauan Robot Investment Co Ltd untuk membangunkan tanah seluas 1,000 ekar bagi Robotic Future City di Johor bernilai AS$3.458 bilion (RM15 bilion).

Bandar futuristik itu bertujuan membangunkan industri robotik dan pada masa yang sama merangsang pertumbuhan pelbagai rantaian bekalan di Malaysia.

MoU lain adalah bagi pembangunan kompleks methanol dan derivatif di Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak, bernilai AS$2 bilion (RM8.69 bilion).

Perjanjian itu adalah antara Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak, Consortium of Huanhqiu Contracting & Engineering Co, dan MACFEAM Sdn Bhd.

Projek itu dijangka siap pada 2021.

Bekal pisang cavendish

Perjanjian lain adalah antara KAJ Development and Power China, Shenzen Yantian Port Group dan Rizhao Port Group untuk membangunkan bersama Melaka Gateway sebagai pembangunan bercampur terdiri daripada empat pulau bagi pelancongan, bandar pintar dan hab komersial, pelabuhan laut dalam, pembinaan kapal dan perkhidmatan pembaikan serta taman perindustrian maritim.

Pada November 2016 nilai pembangunan kasar Melaka Gateway berjumlah AS$6.92 bilion (RM30 bilion).

Perjanjian juga dimeterai bagi kerjasama untuk mempromosi dan membangunkan Kluster Inovasi Malaysia dalam Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP).

Selain itu, Agrofresh International Sdn Bhd dan Dashang Co Ltd memeterai perjanjian ejen eksklusif bagi membekalkan pisang cavendish dan buah-buahan tropika bernilai AS$1.53 bilion (RM6.65 bilion).

Pelaburan lain termasuklah pembangunan bercampur "The Shore" di Kota Kinabalu, Sabah, bernilai AS$132.58 juta (RM575.93 juta).

The Shanghai Stock Exchange pula akan bekerjasama dengan Bursa Malaysia Berhad dalam mencari kaedah berpotensi untuk menambah baik akses pasaran dan produk dalam kedua-dua pasaran.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Wakil Khas Kerajaan Malaysia Ke China Tan Sri Ong Ka Ting.

Sementara itu, AirAsia Berhad memeterai MoU dengan China Everbright Group dan Henan Government Working Group untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah di China.

- Bernama

Lihat Komen