Ku Nan: Umno bayar, apa masalahnya?


(Dikemaskini )

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mempertikaikan pihak yang tidak berpuas hati susulan beberapa lokasi dan banunan mempamerkan logo sambutan ulang tahun Umno ke-71.

Tengku Adnan menggelar pihak yang marah dengan tindakan tersebut sebagai cemburu dengan apa yang telah dilakukan oleh Umno.

"Semua saya buat nak marah. Bukan situ (bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) je dia marah. (Logo yang diletakkan) dekat (pusat beli-belah) Pavillion pun dia marah, dekat Jalan Klang Lama dia marah, dekat Segambut dia marah.

"Kenapa nak marah? Kita bayar, apa masalahnya?

"Mereka cemburu. Bila dia buat tak apa. Di negeri Selangor, tiap-tiap bulatan (jalan) ada gambar entah siapa-siapa saya tak tahu. Dia boleh. Kita buat semua salah," kata Tengku Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi sumbangan kepada surau-surau di kawasan parlimen Putrajaya.

Ketika ditanya sama ada bayaran dikenakan bagi mempamerkan logo berkenaan, Tengku Adnan menjelaskan bahawa papan iklan digital di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih dalam tempoh percubaan.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak DBKL meletakkan logo Umno sebagai percubaan.

"Bagi DBKL, (papan iklan digital) bangunan itu masih dalam percubaan. Belum siap lagi. Jadi saya minta mereka untuk letak (logo) untuk percubaan.

"Macam di Pavillion dan tempat lain kita dikenakan caj dan kita bayar," kata setiausaha agung Umno itu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan logo Umno terpampang di bangunan DBKL setinggi 34 tingkat di ibu negara.

Logo itu bersempena sambutan ulang tahun Umno ke-71 yang telah ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru.

Gambar bendera Malaysia dan logo rasmi sambutan itu turut dipamerkan.

Tindakan DBKL bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin pembangkang.

Antaranya, Anggota Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang mendakwa tindakan itu tidak menghormati warga kota yang rata-rata mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

#}