Pilihan raya kecil Pujut bakal diadakan tidak lama susulan wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon (DAP-Pujut) dilaporkan dipecat selepas usul untuk melucutkan keanggotaaannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, dibentangkan hari ini.
See Hua Online melaporkan bahawa usul itu diluluskan menerusi pengundian yang menyaksikan 70 wakil rakyat menyokong penyingkiran Ting manakala 10 yang lain menentangnya.
Ini susulan selepas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh (BN - Bawang Assan) mendakwa Ting memiliki kewarganegaraan Australia dan seterusnya mengemukakan usul itu terhadapnya.
Beliau dilaporkan memetik Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang dengan sukarela memperoleh kewarganegaraan asing atau menikmati hak-hak kerakyatan asing akan hilang kelayakan sebagai seorang ADUN.
Katanya, Ting didaftarkan sebagai pengundi di Australia dan berikrar taat setia kepada negara di luar Persekutuan Malaysia dan kerakyatan Australia miliknya hanya dilepas pada 4 April 2016, tiga minggu sebelum berlangsungnya pilihan raya negeri..
Wong juga mendakwa pemimpin DAP itu memperolehi kewarganegaraan Australia pada 20 Januari 2010.
Katanya, Ting telah diisytiharkan muflis dua kali di Australia di bawah Pihak Berkuasa Kewangan Sekuriti Australia pada 24 Jun 2012 dan 11 Sept 2012 serta tidak berkelayakan, tidak sesuai, dan tidak boleh dipercayai sebagai ADUN.
Kes ini dipercayai yang pertama di Malaysia.
Calon BN Pujut yang tewas kepada Ting, Hii King Chiong sebelum ini memfailkan petisyen pilihan raya terhadap kemenangan DAP itu, tetapi Mahkamah Pilihan Raya menolak kes itu atas alasan teknikal tahun lalu.
Sementara itu, pada sidang akhbar yang disiarkan di laman Facebook DAP Sarawak, Ting berkata beliau melepaskan kerakyatan Australia selepas dirinya direkrut oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) untuk kembali ke Malaysia.
Beliau berkata proses untuk memulangkan kerakyatan Australia itu memakan masa selama setahun, dan selesai sebelum Pilihan Raya Negeri Sarawak, yang diadakan pada 7 Mei tahun lalu.
Ting menambah bahawa beliau tidak pernah hilang kerakyatan negara ini.
Sebelum Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar membuat keputusan penuh kontroversi itu, berlaku pertikaman lidah antara dirinya, dan Wong serta Pengerusi DAP Sarawak Chong Cheng Jen dan Ting.
Apabila perkara itu dikemukakan untuk pengundian, hanya 10 ADUN daripada DAP dan PKR yang menentangnya.
Pelucutan itu akan menyaksikan pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Pujut.
Pada pilihan raya negeri, Mei tahun lalu, Ting, yang menjalani latihan sebagai doktor perubatan di Australia, meraih 8,899 undi untuk memenangi kerusi berkenaan, menewaskan pencabarnya, Hii yang mendapat 7,140 undi, calon PAS Jofri Jaraiee (513 undi) dan calon Bebas Fong Pau Teck (375 undi).
Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ditemui berkata kini terpulang kepada Speaker Dewan untuk memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kerusi itu.
"Kemudian terpulang kepada SPR untuk membuat keputusan. Pada masa sama, DAP boleh membuat pilihan untuk mencabar keputusan itu di mahkamah.
“Mereka boleh memfailkan injunksi terhadap pilihan raya kecil," katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Chong berkata DAP akan mengkaji aspek hilang kelayakan itu untuk tindakan undang-undang dan menambah ia bukan perkara yang mudah untuk mencabar keputusan berkenaan.
Beliau berkata DUN itu sepatutnya menghormati keputusan Mahkamah Pilihan Raya Miri yang telah membuat keputusan sebaliknya.
"Sebenarnya, keputusan seperti ini telah mentafsirkan Perlembagaan Negeri dan tugas ini sepatutnya dilakukan oleh mahkamah.
"Ini adalah hari yang amat menyedihkan bagi kerajaan negeri dan negara. Ini adalah persendaan terhadap keadilan dan malah bukti yang kononnya dikemukakan adalah lemah dan tidak akan diterima oleh mahkamah," katanya.
Ting menyifatkan keputusan itu sebagai tidak demokratik, terutama bagi pengundi Pujut, tetapi berkata perkara tersebut tidak akan memburukkan reputasi DAP di kawasan berkenaan.