malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu berkata, tindakan PAS itu membelakangkan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan terhadap negara.

"Saya kecewa kerana keputusan untuk membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR, (ia) adalah keputusan dan pilihan yang dibuat PAS sendiri.

"Dan ini sedikit sebanyak satu keputusan yang membelakangkan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan demi negara dan rakyat keseluruhannya," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan SUK Shah Alam.

Beliau sebelum itu bermesyuarat bersama tiga exco PAS dan pesuruhjaya baru parti itu.

Beliau sebelum itu bermesyuarat bersama tiga exco PAS – Datuk Iskandar Samad, Zaidy Abdul Talib dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi – dan pesuruhjaya baru parti itu Sallehen Mukhyi.

Pertemuan tersebut diadakan kira-kira sejam dan berakhir pada jam 10 pagi itu.

Ditanya mengenai pertemuan itu, Azmin berkata ia bertujuan bagi mendengar penjelasan daripada pihak PAS Selangor berhubung keputusan Majlis Syura semalam.

Bagaimanapun, Azmin enggan mendedahkan secara lanjut mengenai pertemuan tersebut.

"Saya memanggil ketiga-tiga exco dan pesuruhjaya PAS yang baru. Saya menuntut penjelasan daripada mereka terhadap situasi berhubung keputusan yang dibuat Majlis Syura semalam.

"Penjelasan telah pun diberikan kepada saya dan saya akan teliti penjelasan ini," kata Azmin.
Penjelasan dibawa pada presiden

Sehubungan itu, Azmin berkata lagi, penjelasan ketiga-tiga exco dan pesuruhjaya PAS itu akan dibawa kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail untuk diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Itu pilihan dibuat PAS dan bukan PKR. Saya secara peribadi dan mewakili parti telah berusaha sekian lama untuk memastikan muafakat politik terus dipertahankan demi rakyat dan negara.

"Saya dah dengar penjelasan dari ketiga-tiga exco dan pesuruhjaya PAS, saya telah memberi pandangan saya dan kita akan teliti perkara ini.

"Saya akan membawa penjelasan mereka kepada presiden PKR yang kini dalam perjalanan pulang dari Amerika Syarikat untuk lihat apakah tindakan seterusnya," ujarnya lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan penjelasan diberikan, anggota parlimen Gombak itu berkata ia bukan soal kepuasan hati.

Katanya, penjelasan perlu didengar sebelum tindakan diambil.

"Saya kira perlu dengar penjelasan dari mereka sebelum sebarang tindakan diambil.

"Saya akan bincang dengan presiden (berhubung sama ada mereka akan digugurkan).

"Kita akan meneliti penjelasan ini sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.

Majlis Syura Ulama semalam mengumumkan kerjasama politik bersama PKR  terbatal atas alasan parti itu banyak melanggar syarat-syaratnya.

Lihat Komen