malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khairuddin, Chang bebas penuh tuduhan sabotaj
Diterbitkan:  May 12, 2017 11:48 AM
Dikemaskini: 4:35 AM
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memberi pembebasan penuh kepada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang yang dituduh mensabotaj ekonomi negara berhubung laporan mereka berkaitan skandal 1MDB yang dibuat di luar negara.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memutuskan bahawa ia terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana tidak ada saksi yang dipanggil dalam kes ini.

Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa kedua-dua tertuduh perlu diberikan kebebasan mutlak dengan alasan demi kepentingan awam dan keadilan saksama.

Semalam, pihak pendakwaan yang diketuai oleh Awang Armadajaya Awang Mahmud memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menerima arahan untuk tidak meneruskan kes itu dan memohon kedua-dua mereka dilepas tanpa dibebaskan.

Bagaimanapun peguam defendan memohon untuk pembebasan, kerana pelepasan tanpa dibebaskan akan membolehkan pihak pendakwa menuduhkan semula mereka.

Khairuddin dan Chang dituduh bersama-sama cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.

Kedua-duanya berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Lima lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat Polis Cantoment, Singapura.

Mahkamah Tinggi pada 18 Nov tahun lalu, membenarkan mereka diikat jamin selepas memutuskan bahawa tuduhan yang dihadapi kedua-dua mereka bukan kesalahan keselamatan dan tidak tertakluk di bawah Sosma.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen