malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Semakan OSA Azmin kini di hadapan hakim baru
Diterbitkan:  May 11, 2017 6:12 PM
Dikemaskini: 10:15 AM
ADS

Permohonan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali bersama-sama bekas ahli Umno, Muhammad Zahid Md Arip untuk mencabar tindakan mengklasifikasikan laporan audit 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan didengar di hadapan hakim mahkamah tinggi baru.

Perkara itu kini akan didengar di hadapan Hakim Datin Azizah Nawawi, yang menggantikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah, yang telah dipindahkan ke Shah Alam.

Perkara itu didedahkan semasa pengurusan kes hari ini di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berikutan itu, pengurusan kes yang akan datang ditetapkan pada 16 Mei, Selasa depan di hadapan Hakim Azizah, yang sebelum ini mempengerusikan kes-kes harta intelek dan komersial di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Hanipah pada 11 Jan, memberi kebenaran kepada Azmin dan Muhammad Zahid untuk mencabar tindakan mengklasifikasikan laporan audit 1MDB di bawah OSA untuk didengar berdasarkan merit sepenuhnya.

Semasa permohonan semakan kehakiman itu, peguam kanan Tommy Thomas memberitahu mahkamah bahawa ini adalah kali pertama bahawa laporan audit diklasifikasikan di bawah OSA.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan kerajaan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Beliau memohon deklarasi bahawa pengklasifikasi laporan audit di bawah OSA adalah menyalahi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ketiga-tiga responden, ejen mereka dan pegawai berkenaan untuk mengklasifikan semula laporan audit 1MDB menurut Seksyen 2C daripada OSA, dan untuk mendedahkan laporan itu kepada orang ramai.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen