malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tahaluf siyasi PAS dengan PKR kini sah terbatal
ADS

Majlis Syura Ulama PAS hari ini menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu baru-baru ini bagi memutuskan bahawa tahaluf siyasi mereka dengan PKR terbatal.

Perkara itu diumumkan setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

"Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa dengan merujuk begitu banyak pelanggaran syarat tahaluf siyasi, maka hubungun politik telah terbatal," katanya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Antaranya, kata beliau, tindakan PKR tidak menyokong - malah menentang - sebahagian daripada agenda Islam dibawa PAS.

Beliau memetik usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sebagai contoh tindakan PKR itu.

Katanya, PKR juga melanggar adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej parti berkenaan.

"Khianat dalam hubungan politik dengan PAS.

"Antaranya dengan bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang PAS dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

Antara anggota Majlis Syura Ulama PAS yang hadir hari ini ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Anggota Parlimen Pasir Mas yang juga ahli jawatankuasa pusat parti itu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan ketua penerangan, Nasrudin Hassan.

Bagaimanapun, mengenai isu di Selangor, Majlis Syura Ulama PAS berkata, keputusan lanjut mengenainya diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat.

Majlis Syura Ulama menjelaskan, keputusan itu dibuat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.

Sementara itu, ditanya sama ada pintu rundingan dengan PKR masih terbuka, Nik Muhammad Zawawi berkata, PAS sedia bertemu dengan parti itu.

"Ya, boleh berjumpa (untuk rundingan)," katanya.

Sebelum ini seorang daripada pemimpin tinggi PKR menyatakan kesanggupannya bertemu dengan PAS bagi membincangkan perancangan masa depan mereka.

Pada 9 Mei lalu Malaysiakini melaporkan, Datuk Seri Azmin Ali sebagai berkata, beliau sanggup bertemu presiden PAS walaupun kedua-dua parti kini mempunyai perbezaan.

"Kita mesti mempunyai kerendahan hati untuk duduk dan berbincang," kata timbalan presiden PKR itu.

Lihat Komen