MP: Jika iringan Hadi selesai masalah, saya sokong

(Dikemaskini )

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengaku diserang ramai penyokong PAS dan Umno susulan kenyataannya berkaitan penyertaan bersama pemimpin kedua-dua parti itu dalam program kebajikan nelayan.

Anggota parlimen Kuala Terengganu bagaimanapun tetap mempertahankan pendiriannya bahawa penguatkuasaan perairan yang lemah akan menyebabkan hasil lautan negara berterusan dikaut oleh nelayan Vietnam.

Raja Kamarul juga berkata beliau bersedia menyokong langkah PAS, jika boleh menyelesaikan masalah.

“Sekiranya usaha segera dalam menyelesaikan masalah yang menghambat warga nelayan di sini boleh disegerakan dengan diiringi presiden PAS, saya tetap sokong.

“Yang penting masalah rakyat selesai, hal sandiwara politik saya tidak mahu masuk campur,” katanya.

Raja Kamarul Bahrin pada 8 Mei lalu mengulas penyertaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam Pada majlis menurunkan tukun tiruan di Marang, Terengganu.

Wakil rakyat Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, politik matang dan sejahtera yang dipopularkan PAS sepatutnya bukan terhad kepada pertemuan dengan Umno pada majlis tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, memahami masalah sebenar rakyat dan nelayan di Terengganu.

Dalam kenyataannya hari ini, Raja Kamarul Bahrin juga mengingatkan bahawa Ramadan makin hampir dan nelayan Terengganu harus melipatgandakan hasil demi menyambut Syawal.

Umat Islam akan menyambut bulan puasa pada penghujung bulan ini.

Share