malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengarah pertandingan catur nak saman
Diterbitkan:  May 10, 2017 9:16 PM
Dikemaskini: 1:19 PM
ADS

Pengarah Pertandingan Catur Sekolah Kebangsaan 2017, Sophian A Yusuf, akan memfailkan saman malu ke atas pihak yang didakwa sengaja memfitnahnya dalam isu seorang pelajar perempuan yang dipertikaikan pakaiannya.

The Star melaporkan, pihak yang akan disaman itu ialah jurulatih catur, Kaushal Khandar, yang memuat naik isu berkenaan di Facebook dengan mendakwa pelajar terbabit dilarang menyertai pertandingan berkenaan.

Mesej itu kemudian menjadi tular.

Turut akan disaman Sophian ialah tiga yang lain, termasuk ahli politik tertentu.

Peguamnya, Mohd Harris Abdullah, berkata proses saman itu akan dimulakan sebaik saja pihak mereka mendapat butiran lengkap mengenai jurulatih kanak-kanak berkenaan.

"Kami juga sedang melihat kemungkinan untuk menyaman pihak yang mengeluarkan kenyataan tertentu bagi keuntungan politik mereka dari status Facebook terbabit," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Harris, surat tuntutan ke atas individu yang terlibat akan dihantar menjelang minggu depan dan tindakan undang-undang bakal diambil jika mereka tidak meminta maaf.

Pertandingan catur berkenaan menjadi perhatian selepas isu pakaian remaja berusia 12 tahun itu dianggap "menggoda" menjadi tular di media sosial.

Sebagai pengarah pertandingan, Sophian menjadi sasaran kritikan dan dianggap bertanggungjawab atas kejadian itu.

Kaushal yang mendedahkan insiden itu di Facebook pada 27 April lalu mendakwa, teguran penganjur dimaklumkan kepada ibu remaja terbabit pada saat akhir.

Remaja itu kemudian menarik diri daripada pertandingan.

Pada sidang media sebelum ini, Sophian berkata tuduhan yang dibuat ke atasnya adalah fitnah.

Katanya, dia tidak pernah berjumpa dengan remaja yang kononnya dianggap berpakaian menggoda semasa pertandingan berkenaan berlangsung.

Harris juga mendakwa, gambar yang dimuat naik oleh Kaushal di Facebook itu diubah suai kerana sebenarnya pelajar terbabit mengenakan pakaian yang lebih singkat di atas paras lutut.

"Kami ada gambar kanak-kanak itu yang diambil semasa pertandingan berlangsung dan ia sama sekali berbeza daripada gambar pada pos Facebook itu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen