malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Tidak ada perseteruan antara Datuk Adam Rosly Abdullah dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, kata menteri besar Selangor hari ini.

Kata Datuk Seri Azmin Ali, 'pertelingkahan' yang nampak berlaku ketika ini adalah hasil mainan pihak lain.

Menjawab soalan media ketika ditemui di Shah Alam hari ini, Azmin malah berkata keadaan hubungan antara kedua-dua individu itu adalah seperti biasa.

"Tak ada pertelingkatan, semua OK," katanya.

Adam Rosly adalah ketua pemuda PKR Ampang sebelum mengambil keputusan bercuti selepas dihadapkan ke mahkamah atas enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia sebelum itu disiasat ekoran aduan memiliki kekayaan luar biasa oleh beberapa pemimpin Umno.

Ekoran pendakwaan itu Rafizi mencadangkan supaya PKR menjarakkan diri daripada "kemelut peribadi" Adam Rosly, terutama ketika semua parti sedang bersedia menghadapi pilihan raya umum.

Ketika mengumumkan keputusannya bercuti pada 3 Mei lalu, Adam Rosly sempat menempelak Rafizi kerana "bebelan" anggota parlimen Pandan itu dianggapnya berniat jahat.

Ada hak bela diri

Pada 5 Mei, Adam Rosly sekali lagi menyerang Rafizi selepas mendakwa telah lama bersabar dengan naib presiden PKR itu.

Dalam kenyataannya Adam Rosly, 29, menuntut supaya sumber dana pusat penyelidikan Invoke dan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) yang diasaskan Rafizi didedahkan.

“Aneh apabila Rafizi gagal untuk mendedahkan butiran pengumpulan dana tersebut, walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka,” katanya sambil memberi tempoh 48 jam kepada Rafizi.

Belum cukup tempoh yang ditetapkan, Rafizi kemudian tampil memberikan perincian mengenai sumber dana Invoke dan NOW.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, Rafizi dan Adam Rosly kelihatan bertelagah disebabkan "mainan media" saja.

Beliau turut menyambut baik tindakan Adam Rosly bercuti dan menganggapnya sebagai langkah yang tepat.

"Kita terima keputusan dia. Ia keputusan tepat supaya tidak dikaitkan dengan parti dan kita kena hormati proses undang-undang.

"Seseorang tak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah. Dia ada hak untuk pertahankan diri dan proses itu akan dilalui," katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Allaudeen Ismail, menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes Adam Rosly.

Lihat Komen