malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
‘K'jaan sedia serbu pekerja asing di Forest City'
ADS

Kerajaan akan menyerbu projek Forest City di Johor Bahru yang mengambil pekerja asing selain mengkaji kemungkinan melaksanakan ‘program pengambilan semula’ terhadap ratusan pekerja dari China yang dibawa masuk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan proses ‘pengambilan semula’ pekerja berkenaan, manakala Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali berkata pihak imigresen akan menyerbu Forest City.

Mustafar ketika dihubungi berkata, Jabatan Imigresen sedang meneliti perkara itu daripada dua sudut: penyalahgunaan permit, dan kemungkinan aktiviti pemerdagangan manusia atau penyeludupan pekerja asing, seperti dinyatakan dalam Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Tindakan, katanya boleh diambil terhadap majikan dan juga kontraktor kecil di bawah akta berkenaan.

Mustafar berkata pihaknya, sebelum ini ada melakukan serbuan ke atas pekerja haram di projek berkenaan tetapi tidak mendedahkannya kepada media kerana vimbang maklumat dibocorkan.

Menurutnya, pihak Imigresen akan bekerja sama dengan pihak berkuasa lain untuk menjalankan serbuan pada masa depan.

"Kita akan bersama dalam melakukan serbuan," katanya sambil menambah Nur Jazlan juga telah menghantar mesej teks kepadanya mengenai perkara itu.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata kerajaan akan menyiasat ebih lanjut mengenai perkara itu dan mencari jalan untuk membolehkan pekerja berkenaan diambil oleh majikan yang sepatutnya.

"Kita akan siasat dengan lebih lanjut dan mencari jalan untuk membawa mereka secara sah di bawah majikan yang betul. Kita akan mempertimbangkan kesesuaian mereka didaftarkan di bawah program pengambilan semula," katanya kepada Malaysiakini.

"Kita akan mengarahkan bahagian penguat kuasa Jabatan Imigresen untuk menyiasat peranan pemaju dan kontraktor projek."

Laporan khas yang disiarkan bermula semalam itu memaparkan bahawa sejumlah besar pekerja tanpa izin dari China yang bekerja di tapak projek berkenaan tidak dibayar gaji mereka.

Ratusan warga China diambil oleh ejen-ejen memasuki Malaysia dengan pas lawatan sosial, tetapi kemudiannya terpaksa meninggalkan negara ini selepas mendapati bahawa mereka terpaksa bekerja secara haram, atau dibayar kurang daripada yang dijangkakan.

"China bukan negara sumber tetapi sesetengah pekerja diberi kelulusan khas kerana mereka diminta oleh pelabur atau kontraktor China. Mereka mesti pulang selepas kontrak mereka dengan kelulusan khas itu tamat tempoh," kata Nur Jazlan.

"Tetapi ramai yang tidak pulang, terutama dalam projek-projek pembinaan yang dimiliki oleh syarikat-syarikat China."

Kerajaan hanya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa negara, termasuk Bangladesh, Indonesia, Thailand, India, Kemboja, Pakistan, Sri Lanka dan Vietnam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen