malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Penyingkiran saya hak prerogatif MOF Inc'
Diterbitkan:  May 8, 2017 9:17 PM
Dikemaskini: 1:22 PM
ADS

Pengerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Pengarah TRX City Sdn Bhd, Arul Kanda Kandasamy, hari ini berkata penyingkirannya daripada jawatan itu memang dijangkakan.

Kata Arul Kanda, perkembangan itu berlaku kerana kedua-dua syarikat berkenaan kini mempunyai pemilik baru.

Beliau menjelaskan, pelantikannya ke anggota lembaga pengarah kedua-dua syarikat dibuat berdasarkan pegangan saham 1MDB pada entiti itu.

Arul Kanda yang juga presiden 1MDB berkata, Bandar Malaysia dan TRX City dipindah milik kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) berkuat kuasa 31 Mac 2017.

"Memang dijangkakan MOF Inc akan melantik pengarah baru mengikut budi bicaranya.

"Sebagai pengurus profesional, saya berkhidmat seperti yang diarahkan pemegang saham. Saya akan sentiasa dipandu dan menerima sebarang keputusan dibuat mereka," katanya.

Bagaimanapun Arul Kanda menjelaskan, beliau tidak menerima sebarang makluman rasmi mengenai kedudukannya bersama Bandar Malaysia dan TRX City itu.

Justeru, katanya, beliau tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai sebarang spekulasi yang berbangkit daripadanya.

Sebelum ini The Malaysian Insight mendakwa Arul Kanda diketepikan daripada dua syarikat berkenaan ekoran kemungkinan berlaku "konflik kepentingan" selepas perjanjian Bandar Malaysia dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) gagal dilaksanakan.

Laporan itu mendakwa keputusan mengetepikan Arul Kanda dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak - atas kapasitinya sebagai menteri kewangan - dan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah yang menjadi pengerusi lembaga pengarah 1MDB.

Ada beberapa cerita yang bercanggah dikaitkan dengan kegagalan perjanjian Bandar Malaysia itu.

Berdasarkan kenyataan TRX City - yang menjadi pemilik tanah Bandar Malaysia - perjanjian berkenaan tidak dapat diteruskan kerana IWH-CREC gagal membuat bayaran sebanyak 10 kali.

Bagaimanapun konsortium itu menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya menegaskan semua bayaran yang sepatutnya sudah dibuat.

Suatu majlis perasmian besar-besaran yang sepatutnya diadakan pada Rabu lalu turut dibatalkan pada saat-saat akhir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen