malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH: Hadi, Shabery bermesra nelayan terus derita
Diterbitkan:  May 8, 2017 4:44 PM
Dikemaskini: 8:54 AM
ADS

Walaupun berhujah dengan alasan politik matang dan sejahtera, seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) beranggapan kebersamaan pemimpin PAS dan Umno akhir-akhir ini cuma sandiwara.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata apa yang lebih penting dan diabaikan adalah nasib rakyat bawahan dan nelayan di negeri berkenaan.

Katanya, politik matang dan sejahtera - yang dipopularkan oleh PAS - sepatutnya bukan terhad kepada pertemuan dengan Umno pada majlis tertentu.

"Tetapi yang lebih besar daripada itu ialah memahami dengan sebenar-benarnya masalah dihadapi rakyat dan nelayan di Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut anggota parlimen Kuala Terenganu itu, masalah dihadapi rakyat dan nelayan sudah berlanjutan berlaku, dan begitu lama sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama-sama menghadiri majlis rasmi kerajaan pada 4 Mei lalu.

Pada majlis menurunkan tukun tiruan itu, Abdul Hadi menjadi seorang daripada tetamu kehormat program kerajaan pusat itu.

Ahmad Shabery turut menjelaskan kehadiran Abdul Hadi mendapat restu daripada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, penyokong PAS berhujah, kehadiran Abdul Hadi itu adalah sebahagian daripada amalan politik matang dan sejahtera parti berkenaan.

Kata Raja Kamarul Bahrin, beliau pernah membangkitkan pelbagai isu berkaitan masalah nelayan di parlimen, termasuk dengan Ahmad Shabery yang bertugas sebagai menteri pertanian dan industri asas tani.

Menurut beliau, tindakan yang perlu diambil kerajaan bukanlah sekadar meletakkan tukun tiruan di lautan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah yang melanda.

"Walaupun tukun akan menambah bilangan ikan di laut, tetapi tindakan ini akan sia-sia sahaja jika aktiviti haram nelayan Vietnam tidak dibenteras.

"Tukun hanya membantu nelayan Vietnam mendapat tangkapan ikan yang lebih banyak ketika nelayan tempatan terus kerugian dan berputih mata melihat hasil negara dikaut orang asing," katanya.

Turut wajar diberi penekanan, kata Raja Kamarul Bahrin, ialah penambahan peruntukan untuk minyak kapal peronda pihak berkuasa negara.

Tanpa peruntukan mencukupi, katanya, pasukan keselamatan tidak dapat mengadakan rondaan dengan berkesan bagi membenteras pencerobohan nelayan asing.

"Masalah minyak rondaan yang tidak mencukupi juga sudah lama dibangkitkan," katanya.

Beliau juga mencadangkan pihak berkuasa mengambil langkah lebih keras terhadap nelayan asing yang mencerobohi perairan negara.

Kata Raja Kamarul Bahrin, langkah Indonesia memusnahkan kapal nelayan yang ditahan boleh dipraktikkan di negara ini untuk mengatasi pencerobohan asing.

Dalam keadaan begitu, katanya, kemesraan yang dipamerkan Abdul Hadi dan Shabery menimbulkan kemarahan rakyat serta nelayan.

"Ia kerana tindakan itu tidak berpijak di bumi nyata," katanya.

Lihat Komen