malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ADUN Johor mahu projek Bandar Malaysia dirunding semula
Diterbitkan:  May 8, 2017 4:40 PM
Dikemaskini: 8:46 AM
ADS

Dua wakil rakyat DAP menggesa kerajaan negeri Johor merundingkan semula dengan TRX City Sdn Bhd milik kerajaan persekutuan berhubung pembatalan perjanjaian dengan konsortium IWH CREC Sdn Bhd (ICSB) untuk membangunkan Bandar Malaysia.

ADUN Skudai Dr Boo Cheng Hau, dalam ucapan perbahasan menjunjung kasih ke bawah titah Sultan Johor di DUN Johor hari ini berkata, pembatalan itu memberi kesan kepada syarikat berkaitan kerajaan Johor iaitu Kumpulan Prasana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJSB).

Katanya, Iskandar Waterfront Holdings (IWH) yang memiliki 60 peratus ekuiti dalam ICSB manakala baki, 40 peratus dipegangan oleh China Railway Engineering Corporation.

KPRJSB, pula memiliki ekuiti 40 peratus dalam IWH, dan akan mempunyai kepentingan 14.4 peratus dalam projek Bandar Malaysia jika perjanjian itu menjadi kenyataan.

“Efek kegagalan projek ini telah sekurang-kurangnya membawa kerugian sekurang-kurangnya RM 178 juta bayaran deposit kepada KPRJ, dan pada jangka masa panjang kerugian ekonomi adalah melebihi RM 1.7 billion.

“Oleh itu, kesan perjanjian projek ini sewajarnya dikaji dengan teliti oleh semua pihak,” katanya.

Menurut ADUN Skudai itu, banyak persoalan tertimbul daripada kegagalan perjanjian projek berkenaan, termasuk keraguan terhadap dasar ekonomi, dasar kewangan dan sistem politik kita.

“Dua-dua kerajaan negeri dan persekutuan seharusnya berunding semula bagi menyelesaikan perselisihan berkenaan isu pembayaran kerana ini juga melibatkan kepentingan GLC kerajaan negeri Johor,” katanya.

Semenatara itu, ADUN Jementah Tan Chen Choon mahu kerajaan negeri Johor menyatakan pendirian berhubung perbatalan perjanjian Bandar Malaysia oleh kerajaan pusat itu.

Katanya, menurut laporan media, pihak gabungan IWH dan CREC telah memenuhi semua syarat-syarat perjanjian tersebut dan meminta kerajaan persekutuan meneruskan perjanjian tersebut.

“Menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Johor Tahun 2015, KPRJ telah menyumbang dividen sebanyak RM30 juta dan RM20 juta kepada kerajaan negeri Johor pada tahun 2014 dan 2015 masing-masing.

“Justeru, adalah jelas bahawa kerajaan Negeri Johor mempunyai kepentingan dalam IWH dan rakyat Johor berhak mengetahui apakah sebenarnya telah berlaku di atas perbatalan perjanjian jual beli tersebut yang akan memberi impak kepada kerajaan negeri Johor,” katanya.

Tan juga menyoal sekiranya perjanjian tersebut telah dibatalkan, adakah deposit RM741 juta akan dipulangkan balik kepada gabungan itu di mana kerajaan negeri Johor mempunyai kepentingan.

Media sebelum ini melaporkan bayaran deposit 10 peratus iaitu sebanyak RM741 juta telah dibayar kepada 1MDB.

Minggu lalu, TRX City berkata perjanjian Bandar Malaysia telah luput kerana konsortium itu gagal membuat pembayaran perlu walaupun sambungan berulang.

Walau bagaimanapun, pada 5 Mei, ICSB mendakwa bahawa konsortium itu telah melunaskan segala bayaran yang diperlukan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen