malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bantahan banyak, masa terhad dan ramai tak hadir
ADS

Anggota Parlimen Klang, Charles Santigo hari ini tidak berpuas hatinya dengan cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor mengendalikan proses bantahan 274 kes siasatan awam di Shah Alam.

Charles berkata walaupun jumlah aduan yang dibuat banyak SPR hanya membenarkan sesi berkenaan berlangsung selama empat jam, bermula 9 pagi.

Katanya, tidak mungkin semua 274 aduan itu dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan sekiranya setiap kes dijangka mengambil masa kira-kira 10 minit.

"Saya tanya pegawai bertugas, dan apa yang mengejutkan saya ialah beliau memberitahu daripada jumlah keseluruhan, 50 peratus tidak hadir," katanya kepada media di pekarangan Pejabat SPR Selangor di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Charles hadir ke situ bagi memantau proses siasatan awam daftar pemilih bagi kawasan parlimen Klang.

Berdasarkan semakan, sebanyak 274 kes akan dibicarakan hari ini melibatkan 176 kes dari kawasan parlimen Klang, manakala 98 lagi melibatkan Petaling Jaya Selatan.

Namun, sepanjang proses siasatan berlangsung hanya 74 pendaftar yang hadir, manakala baki 200 yang lain gagal, menyebabkan kes mereka dibatalkan.

Charles hadir bersama Anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizan Zamanhuri, tiba kira-kira jam 9 pagi dan beredar kira-kira jam 1 petang.

Mengulas lanjut, Charles berkata apa yang berlaku hari ini jelas tidak adil kepada pendaftar pemilih.

"Bukankah lebih baik SPR memberi sedikit kelonggaran dengan melanjutkan tempoh masa siasatan sebab ada antara pengadu bekerja dan mungkin ada masalah kesihatan.

"Jadi, adalah lebih baik ia dipanjangkan sehingga selepas waktu pejabat atau seminggu untuk berbuat demikian.

"Tapi mereka cakap ini peraturan yang telah ditetapkan," katanya kesal.

Dianggap bukan pemastautin

Turut berkongsi kekesalan itu ialah Azmizan.

Katanya, apa yang berlaku hari ini dianggap tidak adil kerana tempoh yang diberikan adalah terhad.

"Dan adakah ini masa yang cukup untuk membuat siasatan? Tempoh yang diberikan juga menyusahkan pihak yang membantah kerana mereka terpaksa mengambil cuti dan hadir siasatan.

"Jadi, saya minta SPR pertimbangkan balik supaya proses ini dipanjangkan ekoran jumlahnya terlalu ramai kerana proses ini dibenarkan dan ada dalam undang-undang SPR," kata Azmizan.

Sementara itu, mengulas lanjut Charles mendakwa apa yang berlaku ini didalangi Umno bagi menjatuhkan pembangkang.

"Kesemua pembantah adalah Melayu, daripada Umno sedangkan yang membantah adalah Cina. Ini tak masuk akal dan merupakan satu strategi Umno untuk mengeluarkan orang tertentu yang dijangka akan mengundi PKR dan Pakatan Harapan," katanya.

Charles menyatakan, seorang pengundi yang hadir hari ini memberitahu, dia terpaksa membuat semakan status hanya kerana dikatakan bukan pemastautin.

"Pihak pembantah datang ke rumahnya dua kali tetapi kebetulan dia tiada di situ, tetapi pembantah terus menganggap dia bukan lagi pemastautin," tambah Charles.

Menjelaskan keadaan itu, pegawai SPR memberitahu Malaysiakini, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana semuanya dijalankan mengikut petuntukan undang-undang.

"Isu masa dan tempoh proses bantahan tersebut dibuat berdasarkan peraturan sedia ada," katanya.

Lihat Komen