malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Johor promosi Kampung Baru sebagai tarikan pelancong
ADS

Kerajaan Johor menerusi pelbagai agensi pelancongan berkaitan sedang berusaha mempromosikan beberapa Kampung Baru di negeri ini sebagai tarikan pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata kampung berkenaan ialah Kampung Baru Paloh di Kluang, Kampung Baru Kukup di Pontian, Kampung Baru Yong Peng dan Bekok di Batu Pahat serta Kampung Baru Kulai.

"Kesemua kampung ini telah dipilih sebagai Kampung Baru Pelancongan oleh Bahagian Kampung Baru Jabatan Perdana Menteri, baru-baru ini," katanya menjawab soalan Teoh Yap Kun (BN-Paloh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di Iskandar Puteri hari ini.

Tee berkata antara usaha yang dilakukan adalah menggiatkan program inap desa di kalangan penduduk kampung berkenaan bagi memajukan serta menambah pendapatan mereka.

Beliau berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kelima-lima kampung tersebut juga diminta memainkan peranan memandangkan mereka merupakan penggerak antara orang kampung dan agensi pelancongan.

"Kerajaan negeri melalui Tourism Johor, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Johor serta agensi-agensi yang berkaitan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kampung-kampung ini bagi membuat perancangan dan pelaksanaan aktiviti pelancongan," katanya.

Beliau turut menyarankan JKKK kesemua kampung tersebut supaya menggalakkan golongan belia mereka menyumbang idea serta kreativiti dalam mempromosikan kampung masing-masing.

Menjawab soalan tambahan Suhaimi Salleh (BN-Kukup), Tee berkata Kampung Baru Kukup berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan berdasarkan kedudukannya berhampiran Taman Negara Pulau Kukup.

Beliau berkata Taman Negara Pulau Kukup merupakan pulau berhutan paya bakau berstatus Ramsar kedua terbesar dan kerja menaik taraf kemudahan pelancongan di kawasan tersebut sudah disiapkan awal tahun lepas dengan kos RM6 juta.

"Untuk makluman DUN, pelancongan desa dilihat mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negeri Johor.

"Ini kerana 'trend' industri pelancongan pada masa ini tidak lagi hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar, pulau, tasik dan pantai semata-mata sebaliknya alam semula jadi dan warisan budaya yang terdapat di kawasan luar bandar," katanya. -Bernama

Lihat Komen