malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PERMATA, OCIS dari Oxford bangunkan program bersama
Diterbitkan:  May 6, 2017 7:27 PM
Dikemaskini: 11:33 AM
ADS

Permata Negara (PERMATA) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Universiti Oxford, telah bersetuju untuk menerokai peluang bagi mewujudkan kerjasama bagi melahirkan pelajar pintar yang mampu mencapai taraf cendekiawan.

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang merupakan penaung Permata Negara, berkata OCIS telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lagi dengan Permata Negara bagi memperhalusi usahasama yang boleh diadakan bagi tujuan tersebut.

"Lebih banyak kerja asas perlu dilakukan dalam mengenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk mencapai tujuan tersebut," katanya kepada pemberita Malaysia di OCIS, kira-kira 83km dari London, Jumaat.

Rosmah dalam rangka lawatan seminggu ke United Kingdom, bermula Khamis lepas, berkata kerjasama yang dibincang itu bukan sahaja terhad kepada pelajar program Permata Pintar dan Permata Insan tetapi juga melibatkan pelajar lain serta bersifat global.

"Kami juga turut berbincang mengenai isu-isu berkaitan wanita Islam, terutama isu wanita dalam bidang kepimpinan," katanya.

Rosmah, yang diiringi oleh Duta Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Ahmad Rasidi Haziz telah disambut oleh Pengarah OCIS, Dr Farhan Nizami.

Hadir sama Felo Pengajian Islam di OCIS, Datuk Dr Muhammad Afifi al-Akiti dan perunding kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin

Rosmah juga akan mengadakan perbincangan dengan University of Cambridge, Isnin ini bagi mewujudkan kerjasama dalam membangunkan Program Permata Pintar dan Permata Insan.

Sementara itu, beliau dijadualkan merasmikan majlis Nobel Minda atau Nobelist Mindset iaitu sebuah program anjuran Permata Pintar dengan Royal Society of London, Isnin ini.

Program yang dimulakan pada 2012 bersama New York Academy of Sciences, Amerika Syarikat, kini diperluaskan ke UK dengan kerjasama Royal Society of London dan University of Cambridge.

Untuk program di London ini, seramai 32 pelajar dari Kolej Permata Pintar, Kolej Permata Insan, Kolej MARA, sekolah menengah kebangsaan dan universiti awam serta enam guru akan menyertai program itu selama dua minggu.

Program Minda Nobel itu bertujuan memberi peluang kepada murid pintar dan berbakat menjalankan aktiviti berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM di beberapa universiti seperti University of Cambridge, London College University dan Imperial College London.

Rosmah juga akan mengadakan lawatan dan perbincangan dengan wakil Mahkamah Pakar Keganasan Domestik dan The Rape and Serious Sexual Offences (RASSO) Team dari The Crown Prosecution Service (CSP) pada Selasa ini.

Rosmah akan diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ini adalah lanjutan daripada seminar "Jenayah Seksual Kanak-kanak : Hentikan!!" yang dianjurkan bersama oleh PERMATA dengan beberapa pihak lain pada Mac lepas.

- Bernama

Lihat Komen