malaysiakini logo
story-image
ADS

Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, mengesahkan projek Bandar Malaysia masih berlangsung seperti biasa ketika berita melaporkan perjanjian jualan saham (SSA) mengenainya dibatalkan.

Ditemui media di Petaling Jaya hari ini, Mohd Irwan bagaimanapun tidak melayan soalan lanjutan yang dikemukakan kepadanya.

“Projek masih jalan, tak ada hal, (projek) masih jalan,” katanya selepas merasmikan Program i-Labs di Menara Sunway hari ini.

Beliau ditanya semasa meninggalkan majlis berkenaan. Mohd Irwan turut ditanya sama ada perjanjian berkenaan mendapat kelulusan daripada Beijing atau tidak.

Mohd Irwan juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagaimanapun mengulangi jawapannya, iaitu “projek masih jalan”.

Namun Irwan hanya mendiamkan diri ketika ditanya adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan ke China lagi untuk mencari pelabur baru bagi Bandar Malaysia.

Semalam, TRX City Sdn Bhd mengumumkan SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC) terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Dilaporkan konsortium IWH-CREC Sdn Bhd gagal melunaskan RM7.42 bilion untuk mendapat 60 peratus pegangan saham walaupun beberapa kali penangguhan diberikan sejak Disember 2015.

Menurut TRX City, Kementerian Kewangan akan terus mengekalkan pegangan 100 peratus hak dalam Bandar Malaysia dan akan memastikan pembangunan aset harta tanah itu benar-benarmemberi faedah kepada rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini berkata pembatalan SSA Bandar Malaysia tidak menggugat rancangan jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan 1MDB dan membangunkan projek berkenaan.

Kerajaan, katanya, akan mempelawa syarikat-syarikat tempatan dan luar negara yang mempunyai pelan lebih menarik serta komprehensif bagi menjadi pemaju utama projek pembangunan Bandar Malaysia

Lihat Komen