malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Logo HARAPAN: Rafizi hargai pandangan ramai
ADS

Dikecam dengan teruk, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, tetap gembira kerana warga siber bersikap jujur dengan memberikan reaksi masing-masing kepada tiga logo cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kata Rafizi, beliau berpendapat logo cadangan itu perlu dipamerka kepada orang ramai supaya pemimpin parti yang bergabung dalam HARAPAN dapat melihat sendiri reaksi orang ramai.

"Tapi jangan bimbang. Logo itu bukan ciptaan saya," katanya kepada media di Sungai Besi hari ini.

Rafizi hari ini memuat naik tiga rekaan logo di akaun media sosialnya dan meminta pengguna Internet membuat pilihan rekaan yang sesuai.

Bagaimanapun, reaksi warga siber sangat negatif dan hampir tidak ada satu pun komen yang menerima rekaan lambang itu dengan positif.

HARAPAN yang sedang bersiap sedia menjadi pakatan rasmi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 sedang dalam proses mendaftarkan gabungan itu di Pendaftar Pertubuhan.

Jika ia diterima HARAPAN boleh bertanding sebagai satu badan rasmi dan menggunakan logo tunggal.

Sebelum ini gabungan pembangkang menggunakan lambang masing-masing semasa menyertai pilihan raya.

Pilihan Majlis Presiden

Rafizi yang juga anggota parlimen Pandan berkata, secara umum beliau gembira kerana warga siber bersikap jujur.

"Saya tak pasti bagaimana reaksi pemimpin lain, sama ada mereka akan meneruskan (cadangan logo itu) atau akan memikirkannya terlebih dulu," katanya.

Seniman kelahiran Sabah, Yee I-Lann, berkata logo itu meletakkan negara berada dalam keadaan "darurat" dan parti politik wajar diajar menggunakan reka bentuk grafik yang betul.

"HARAPAN, logo baru anda dapat markah F. Ada tak sesiapa yang berkelapangan untuk membuat analisis bagi memaklumkan mereka mengapa rekaan itu terlalu buruk? Saya bertanya dengan penuh serius, ia sangat gagal," katanya di Facebook.

Menurut Rafizi, beliau bertegas untuk memaparkan tiga rekaan disenarai pendek itu untuk melihat reaksi pengguna media sosial kerana baginya, ia mempunyai kaitan dengan cita rasa seseorang.

"Saya tidak fikir orang politik wajar membuat pilihan reka bentuk kerana ia membabitkan cita rasa. Lain orang lainlah cita rasanya. Jadi kita perlu mendapatkan maklum balas sebanyak mungkin," katanya.

Tiga logo disenarai pendek itu sepatutnya dikemukakan kepada Majlis Presiden HARAPAN untuk dibuat keputusan muktamad.

Lihat Komen