malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
1,000 pemilih didaftar 2 kali atau lebih di Johor, dakwa DAP
Diterbitkan:  May 3, 2017 3:49 PM
Dikemaskini: 7:52 AM
ADS

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol dari DAP, Tan Hong Pin hari ini mendakwa pihaknya menemui lebih kurang 1,000 pemilih yang disyaki namanya daftar dua kali atau lebih dalam daftar pemilih.

"Dengan kata lain, mereka ini boleh mengundi di dua kawasan pilihan raya. Hal ini bercannggah dengan prinsip asas 'satu orang - satu undi'.

"Malah, ia secara langsung membuktikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak berupaya membina institusi yang adil dan kukuh dan mempertahankan hak setiap pengundi Malaysia," kata beliau dalam kenyataan.

Lebih dari itu, Tan juga mendedahkan dihubungi sumber dalaman yang mengatakan wujudnya keadaan seorang individu didaftarkan dua kali atau lebih dalam daftar pemilih atas sebab yang tidak diketahui.

Jelasnya, dalam tiga kawasan Parlimen di daerah Kluang, iaitu P152 Kluang, P153 Sembrong dan P151 Simpang Renggam, pihaknya mendapati terdapat lebih kurang 150 individu yang namanya mungkin didaftarkan dua kali.

"Saya telah membuat siasatan tapak ke alamat berdaftar tiga orang pemilih di bawah, Muhamad Kaharun bin Awang (770201065275), Sah Soon Hoe (541106015289), Ma’ah binti Madi (K477309) tetapi tidak dapat berjumpa dengan pemilih-pemilih tersebut.

"Oleh kerana saya tidak dapat mengesan individu pemilih tersebut, saya berharap mereka atau pun keluarga mereka dapat menghubungi saya atau terus ke pejabat SPR selepas ini untuk memastikan identiti mereka tidak didaftarkan dua kali," tambahnya.

Beliau bimbang ada di kalangan pemilih yang didaftarkan dua kali itu, kad pengenalan dan butiran peribadi mereka disalahgunakan.

"Sama ada kerana kecuaian ataupun manipulasi jahat pihak tertentu, individu pemilih yang terlibat itu mungkin tidak tahu, mereka mungkin mangsa," katanya lagi.

Justeru, susulan daripada penemuan kes pendaftarkan berulang itu, Tan meminta SPR membetulkan kelemahan ini secepat yang mungkin.

Ia penting, ujarnya, supaya pengundian berulang yang bercanggah dengan prinsip satu orang satu undi tidak berlaku dan merosakkan sistem demokrasi di negara ini.

"Selain itu, SPR harus memberi penjelasan segera. Sekiranya SPR gagal memberi respon, kami akan membuat bantahan ataupun memulakan tindakan mahkamah menyaman SPR," menurutnya.

Lihat Komen