malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Kumpulan pendesak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), hari ini menghantar surat balas kepada PBB berhubung aduan dibuat Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) mengenai Dr Zakir Naik.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, berkata tindakan pendesak Hindu itu dianggap tidak wajar dan mencemar nama baik serta maruah negara.

"Apabila saya membaca kandungan surat itu banyak perkara yang saya rasa tidak wajar.

"Saya menjawab surat Hindraf itu atas prinsip, bukan sahaja membela Dr Zakir semata-mata tetapi juga menjaga maruah Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, Hindraf menulis kepada Jawatankuasa Antipengganas (CTC) Majlis Keselamatan PBB supaya badan dunia itu dapat menasihati Putrajaya membatalkan status pemastautin tetap Zakir.

Dalam suratnya, Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy, memberitahu Ketua CTC, Amr Abdellatif Aboulatta, pendakwa terkenal yang dikehendaki India itu kini berada di Malaysia dan menjalankan aktivitinya di negara ini.

Waytha Moorthy berpendapat, Malaysia adalah anggota CTC dan harus dimaklumkan mengenai "bahaya" yang dipercayai boleh ditimbulkan Zakir.

Pertahankan kebenaran

Kata Ibrahim, kandungan surat ditulis Waytha Moorthy itu seolah-olah menunjukkan Malaysia bersubahat, tidak bertanggungjawab, dan tidak prihatin kepada perkara membabitkan keganasan.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas anggota parlimen Pasir Mas berkata tindakan beliau itu bukanlah untuk bersengketa dengan Hindraf.

"Tidak ada kaitan dengan kita nak bersaing, nak berlawan dengan Hindraf.

"Saya tidak ada langsung niat untuk berlawan dengan Hindraf atau Waytha Moorthy. Saya hanya ke depan seperti dia yang menghantar surat ke CTC.

"Saya juga mengambil tindakan sekadar menulis surat untuk mempertahankan kebenaran," kata Ibrahim.

Tambahnya, salinan surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar, Datuk Seri Hanifah Aman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri T S Tirumurti; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Hidayat Abdul Hamid serta Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Status PR Zakir di Malaysia telah mencetuskan kemarahan sesetengah pihak, terutamanya orang bukan Islam, yang tersinggung dengan ceramahnya.

Hindraf turut terlibat dalam perang mulut dengan salah seorang penyokong Zakir - Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin - selepas mufti Perlis itu menulis puisi dianggap kontroversi.

Lihat Komen