malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

ULASAN l Dalam jarak seminggu, ada dua ceramah berbeza oleh kumpulan berbeda yang berkunjung ke UAE. Bagi kami yang berada di sini, memang tahu Dubai terutamanya menjadi transit dan destinasi ramai rakyat Malaysia dengan pelbagai urusan.

Termasuk mereka yang bergelar politikus, agamawan dan menteri. Malah perdana menteri adalah antara yang selalu bermain golf di sini tahun-tahun kebelakangan, tidak pasti tahun ini.

Sudah tidak menjadi pelik dan teruja dengan kehadiran mereka ini dan ramai juga tidak peduli pun kerana tidak kena mengena dengan kehidupan kami.

Pada 14 April lalu ada jemputan untuk menghadiri ceramah Seminar Kenegaraan Menangani Radikalisme oleh delegasi dari Malaysia. Antara yang datang ialah wakil dari MKN, seorang profesor dan seorang ustaz kontroversil, Zamihan Al Ghari.

Saya memang mahu juga 'bersemuka' dengan ustaz Zamihan yang selalu saya kritik di Facebook. Peluang untuk berdialog secara berdepan adalah sesuatu yang saya nantikan.

Ceramah Zamihan dan dadah M'sia

Zamihan memberikan ceramah pertama mengenai Bahaya Daesh/ISIS di Malaysia. Ketika itu, isu penangkapan pelajar bernama Aishah sedang hangat di Malaysia. Saya tidak begitu berminat menimbulkan isu itu.

Dari pertanyaan, Zamihan memberitahu ada dalam 3,000 rakyat Malaysia yang disyaki menganggotai Daesh.

Jumlah itu tidaklah besar berbanding penagih dadah yang ditangkap sepanjang 3 bulan pertama tahun ini.

Jumlah penagih dadah menunjukkan peningkatan daripada 26,668 orang pada tahun 2015 kepada 30,847, tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata, kes membabitkan penagih baru juga dikesan meningkat daripada 20,281 kepada 22,925 penagih dalam tempoh dua tahun tersebut.

Angka itu tentunya membimbangkan berbanding dengan mereka yang disyaki menjadi ahli Daesh.

Kerana itu saya rasa tidak berbaloi untuk Zamihan keliling dunia bercakap mengenainya, baik sekadar di Malaysia.

Saya banyak bertanya, antaranya apakah pihak berkuasa tahu punca mengapa anak-anak muda tertarik dengan ideologi Daesh.

Dikatakan ramai yang tertarik kerana itulah antara jalan mudah untuk ke syurga, dengan berjihad di Iraq dan Syria.

Apabila profesor dari UKM yang sedang mengajar di Wharton, lupa nama beliau membuat presentasi mengenai Daesh, beliau meletakkan sebab utama kerana pengaruh Salafi/Wahabi.

Sesuatu yang mendapat kecaman kerana dalam konteks di sini, apa yang diutarakan adalah sebahagian dari amalan.

Adalah tidak tepat terus sahaja menyalahkan Salafi/Wahabi apalagi bila profesor itu berkata yang kajiannya dilakukan sepenuhnya di Amerika. Negara yang dikatakan menubuhkan Daesh pada permulaanya.

Suasana menjadi meriah dengan pelbagai pendapat diutarakan. Komen saya untuk profesor tersebut, slides yang ditunjukkan itu perlu diperbaiki kerana tidak memperlihatkan taraf "Wharton'. Kualitinya kurang dan banyak cut and paste.

'Negaraku' selepas 1Malaysia

Akhirnya, wakil MKN membuat ceramah mengenai pengenalan konsep 'Negaraku' yang menggantikan 1Malaysia.

Saya bertanya, apakah 1Malaysia telah gagal? Jawapannya, kita perlukan transformasi baharu untuk masa depan. Terutama dengan TN50.

Saya bertanya lagi, apakah wawasan 2020 gagal? Jawapannya, ya dan tidak.

Setelah berbilion dihabiskan untuk 1Malaysia, kini kita diwarwarkan dengan Negaraku.

Dari laman Facebook Zamihan, dia mengatakan "Tajuk-tajuk seperti Evolusi & Doktrin Daesh, Bahaya Daesh & strategi menanganinya serta ceramah Kenegaraan & patriotik disampaikan dengan baik dan cemerlang".

Sesuatu yang mungkin separuh benar.

Teh tarik bersama Nazri

Pada 24 April, ada satu lagi acara Teh Tarek Session with Malaysian Expatriates in the UAE. Kali ini bersama Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang datang untuk Arabian Travel Mart.

Saya sempat menghadirinya, bukanlah sangat kerana Nazri Aziz. Lebih kepada mahu menikmati juadah dan bertemu rakan-rakan ekspatriat. Sememangnya, walau sama-sama di UAE, kami selalunya bertemu di acara sebegini kerana kesibukan masing-masing.

Saya kurang gemar untuk mengikuti ceramah oleh politikus kerana telah tidak lagi berminat. Sudah letih dengan ramai politikus, termasuk menteri yang merapu. Saya juga tidak mahu bertanya apa-apa kerana tahu jawaban tentunya politically correct.

Nazri berkata yang apa sahaja soalan boleh ditanya. Terbuka. Informal.

Antara soalah ialah mengenai debat. Jawaban sama sahaja dengan yang dibaca sebelum ini. Dia bersedia bila-bila masa kerana banyak perkara mengenai 1MDB yang salah oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dia juga menyebut empat perkara atau episod yang menyebabkan Mahathir begitu marah kepada Datuk Seri Najib sehingga keluar Umno. Tentunya kerana Datuk Seri Mukhriz yang dikatakannya menjadi warisan Mahathir untuk memimpin negara.

Saya tidak mahu mengulas apa-apa. Biarlah Nazri 'menggoreng' di atas pentas.

Bagi Nazri, hukuman lebih berat dalam RUU355 memberi gambaran yang PAS telah gagal mengIslamkan orang-orang Islam di Kelantan. Hujah yang pernah saya baca, maknanya Nazri konsisten.

Kerjasama Umno, PAS

Mengenai kerjasama Umno dengan PAS, Nazri berkata, ia tidak mungkin berlaku kerana keduanya bertanding sesama sendiri. Seperti DUN di kawasan Parlimennya, ada kala PAS menang. Tentunya, ahli Umno tidak mahu memberikan laluan kepada PAS untuk menang tidak bertanding.

Saya diminta oleh kawan-kawan untuk bertanya Nazri kerana sebelum itu, sakan menyakat Zamihan.

Secara berjenaka, saya menjawab, kalau saya mengambil mikrofon, saya tidak mahu bertanya, tetapi mahu berceramah kepada Nazri. Saya sudah puas mendengar retorik politikus dan kalau bertanya pun, kadang lebih menyakitkan hati.

Apa pun, acara malam itu boleh disimpulkan sekadar sembang-sembang kerana walau Teh Tarik Session with Malaysian Expatriates in the UAE, realitinya tiada teh tarik yang dihidangkan, malah briyani udang pun tiada udangnya.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Dia penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen