malaysiakini logo
story-image
ADS

MUKTAMAR Akhirnya, Muktamar Tahunan PAS ke-63 semalam meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik bersama PKR.

Walaupun keputusan tersebut hanya akan ditentukan oleh Majlis Syura Ulama, usul pada muktamar boleh dianggap sebagai 'keputusan bersama' yang telah dipersetujui sebulat suara perwakilan.

Keputusan drastik itu dibuat selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP dua tahun lalu dan keluar dari gabungan Pakatan Rakyat, tetapi pada masa yang sama mengambil sikap yang lebih lunak terhadap PKR.

Selain itu, kedudukan exco-exco PAS di Selangor juga sudah tentunya akan mencuri tumpuan banyak pihak selepas 'perceraian' dengan PKR.

Seperti yang dikatakan exco Selangor, Zaidy Abdul Talib semasa perbahasan ucapan dasar presiden semalam, kesemua exco PAS di Selangor akan patuh dan taat terhadap apa jua keputusan parti itu nanti.

"Apa juga keputusan kita akan akur dan patuh. Insha Allah, kita akan patuh dan akur apa sahaja keputusan oleh pimpinan kita.

"Kalau kata maju ke depan, kita maju. Kalau suruh undur, kita undur. Dengar dan patuh," kata Zaidy.

Justeru, apa yang menjadi tumpuan selepas ini ialah perjalanan politik PAS sebagai parti pembangkang bagi membentuk blok ketiga bersama Parti Ikatan Malaysia (IKATAN) yang digelar sebagai Gagasan Sejahtera.

Bagaimanapun pertembungan antara BN, Pakatan HARAPAN dan blok ketiga itu tentunya tidak banyak memberikan kelebihan kepada parti-parti pembangkang.

Melihat kepada perkembangan terbaru itu, bekas naib presiden PAS dan Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar beranggapan, sekiranya hubungan PAS dan PKR benar-benar putus, ia akan merugikan parti itu.

Mengakui masih bersama PAS kerana ingin menyedarkan ahli parti Islam itu tentang pentingnya bergabung dengan Pakatan Harapan, Mahfuz berkata, tindakan PAS memperlihatkan parti itu tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa.

"Bagi saya PAS gagal mengambil kesempatan dan peluang keemasan pada muktamar ini untuk perbaiki imej pada masyarakat pelbagai kaum dalam negara.

"Sepatutnya ini kesempatan terbaik untuk bina kembali keyakinan masyarakat pelbagai kaum.

"Malah, PAS juga dilihat tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak. Ini yang terjadi daripada perbahasan di peringkat dewan dan usul semalam yang menunjukkan PAS ini tidak boleh bekerjasama6 dengan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita malam tadi.

Lihat Komen